KUALA LUMPUR: “Kami bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku. Doktor sudah memaklumkan keadaannya kini kritikal dan peluang untuk hidup adalah 50:50.
“Disebabkan inilah, kami memberitahu semua ahli keluarga suami dan mereka termasuk dari Singapura sudah datang untuk melawat,” kata Kamariah Mohd Said, isteri kepada pelakon veteran, Kuswadinata.
Bintang filem Melayu seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu kini dirawat di Hospital Ampang sejak 7 Oktober lalu akibat komplikasi pendarahan ulser, kanser kelenjar dan masalah buah pinggang kanan rosak.
Menurut Kamariah, 57, pada luarannya, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 74, nampak sihat dan boleh berbual, namun doktor mengesahkan keadaannya sekarang paling teruk berbanding ketika menerima rawatan sebelum ini.
“Doktor kata suami mengalami pendarahan dalaman dan terpaksa berpuasa untuk mengurangkan kesan pendarahan. Doktor hanya bagi ubat sebab pembedahan sudah tidak boleh dilakukan kerana faktor umur.
“Keadaannya juga lemah dan bila-bila masa jantungnya boleh berhenti. Kami reda dengan apa yang ditakdirkan dan Allah Maha Mengetahui segalanya,” katanya ketika menerima kunjungan rakan artis dari Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) semalam.
No comments:
Post a Comment