Wednesday, October 17, 2012

Radovan Karadzic tolak semua tuduhan

Karadzic (kiri) dan Hadzic didakwa melakukan jenayah perang dan kemanusiaan dalam prosiding di Mahkamah Jenayah Perang Yugoslavia, semalam. - Foto AFP
Karadzic (kiri) dan Hadzic didakwa melakukan jenayah perang dan kemanusiaan dalam prosiding di Mahkamah Jenayah Perang Yugoslavia, semalam. - Foto AFP
The Hague: Bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic mempertahankan diri ketika mula dibicarakan dengan menafikan semua dakwaan dan menyatakan beliau sepatutnya dipuji kerana 'mengurangkan penderitaan.'
Dalam kes berasingan, bekas pemimpin gerila Serb Croatia, Goran Hadzic, juga mula dibicarakan di Mahkamah Jenayah Perang Yugoslavia, defendan terakhir didakwa atas jenayah perang Balkan.

"Saya dan pihak lain tidak terfikir pembunuhan beramai-ramai akan berlaku ke atas orang bukan Serb," - Karadzic
Hadzic, 54, menghadapi 14 tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan atas peranannya dalam perang Croatia pada 1991 hingga 1995.

Pembunuhan orang awam

Ia termasuk pembunuhan beramai-ramai orang awam yang dibawa dari hospital Vukovar pada 1991 dan memaksa penduduk berjalan di kawasan penuh periuk api di bandar Lovas pada Oktober 1991.

Karadzic memulakan prosiding terhadapnya dengan memberi kenyataan panjang lebar dan mendakwa berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan perang dan mengurangkan derita kemanusiaan.
Beliau dengan tenang menyifatkan dirinya seorang yang lembut, bertolak ansur dan sedia memahami orang lain.

Malah, katanya, beliau berulang kali mengajak gerila Serb Bosnia memeterai perjanjian damai, mengutamakan langkah kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa meskipun mereka hampir menang.

Karadzic, 67, mendakwa semua kumpulan etnik di Yugoslavia tiada sejarah konflik hingga menyebabkan puak Serb rasa terancam dengan kuasa penduduk Islam di Serbia.

“Saya dan pihak lain tidak terfikir pembunuhan beramai-ramai akan berlaku ke atas orang bukan Serb,” katanya.

Karadzic ditahan di Belgrade pada 2008 selepas bersembunyi daripada buruan pihak berkuasa hampir 13 tahun dan mula dibicarakan pada Oktober 2009.

Hadapi 10 tuduhan bunuh

Beliau menghadapi 10 dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang lain dan jenayah kemanusiaan dalam perang 1990-an termasuk pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995. - Agensi

No comments:

Post a Comment