Wednesday, October 17, 2012

Sekatan baru zalim




         
TEHERAN: Iran semalam menyifatkan sekatan ekonomi terbaru Kesatuan Eropah yang dilaksanakan ke atasnya sebagai tidak berperi kemanusiaan kerana ia mensasarkan seluruh penduduk negara itu.

“Sekatan satu pihak yang dilaksanakan Eropah dan Amerika Syarikat terhadap Iran adalah tidak masuk akal, haram dan tidak berperi kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast.
Bercakap menerusi televisyen negara itu, Ramin menuduh Barat menggunakan isu nuklear sebagai alasan untuk menekan Iran kerana menetapkan ‘kemerdekaannya sendiri.’

“Sekatan ini dilaksanakan dengan menggunakan alasan aktiviti nuklear Iran yang bertujuan untuk keamanan.



“Sekalipun isu nuklear kita berakhir, mereka sudah pasti menggunakan alasan lain untuk menekan kita,” katanya.


Kesatuan Eropah meningkatkan sekatan terhadap Republik Islam itu Isnin lalu, mensasarkan urusan perbankan dengan negara itu, import gas dan perkapalan serta mengharamkan perdagangan logam.

“Ini adalah tanda keazaman kami. Kami akan meningkatkan tekanan dan kami akan terus berbuat demikian kecuali rundingan berjaya,” kata Setiausaha Luar, William Hague.

Sekatan itu adalah yang terbaru selepas beberapa siri sekatan dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menekan Iran supaya mengekang program nuklearnya.

Kuasa Barat menuduh Iran menggunakan program itu untuk menghasilkan senjata atom.

Republik Islam itu bagaimanapun menyangkalnya, sebaliknya berkata, aktiviti nuklearnya bertujuan untuk keamanan.

Lima anggota tetap Majlis Keselamatan dan Jerman, mengadakan tiga rundingan bersemuka dengan Iran tahun ini untuk menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun, rundingan itu menemui jalan buntu dengan perhubungan merosot kepada hanya menerusi telefon antara pegawai Iran dan EU. - AFP

No comments:

Post a Comment