Friday, October 19, 2012

Militan letup diri, 10 terbunuh



KABUL 17 Okt. - Seorang anggota militan yang menaiki sebuah trak meletupkan dirinya di sebuah pangkalan Pasukan Keselamatan Nasional Afghanistan (ANSF) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di timur negara ini hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang askar kerajaan dipercayai terbunuh.
Laporan pegawai Afghanistan menyebut, beberapa orang askar lain turut cedera dalam serangan itu, namun militan Taliban yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu mendakwa 45 orang maut dalam serangan tersebut.
Tiada laporan rasmi tentang jumlah sebenar yang terbunuh.
Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa diketuai NATO (ISAF) berkata, sebuah pos kawalan ISAF-ANSF di daerah Zurmat dekat wilayah Paktiya diserang pada pagi ini oleh pemberontak dengan meletupkan sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan.
"Laporan awal menyebut serangan itu menyebabkan sejumlah tentera ANSF terkorban, namun tiada kematian membabitkan askar ISAF," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.
Timbalan Gabenor Paktiya, Abdul Rahman Mangal berkata, kira-kira 45 askar kerajaan cedera, kebanyakan mereka akibat terkena serpihan kaca daripada letupan kuat di pagar pangkalan itu.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, pejuang mereka telah menyusup masuk ke dalam pangkalan itu dan masih meneruskan serangan.
"Pejuang kami yang bersenjatakan roket, mesingan, bom tangan dan jaket yang sarat dengan bahan letupan berjaya menceroboh pangkalan di Zurmat itu selepas letupan trak terbabit," katanya.
Dakwaan Taliban itu, bagaimanapun dinafikan oleh pegawai Afghanistan dan ISAF. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121018/lu_03/Militan-letup-diri-10-terbunuh#ixzz29jEG0MIT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment