MANILA 16 Okt. - Pengerusi Panel Perundingan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal menyatakan, tidak semua pejuang pemisah kumpulan itu memahami rangka kerja perjanjian antara MILF dengan kerajaan Filipina yang ditandatangani semalam.
"Terdapat sedikit masalah komunikasi. Tidak semua kandungan Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro itu difahami oleh semua anggota MILF. Oleh sebab itu selepas ini, kami akan memberi penerangan kepada mereka,'' katanya semalam.
Mohagher bagaimanapun enggan mengulas bagaimana pejuang pemisah menerima berita mengenai pembubaran pasukan bersenjata mereka secara berperingkat.
Beliau berkata, perkara itu masih dibincangkan oleh MILF pada peringkat dalaman.
Mohagher dan ketua pasukan perunding kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen menolak kemungkinan proses damai diganggu oleh Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) diketuai Nur Misuari atau Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dipimpin Ameril Umbra Kato.
Mohagher berkata, BIFF tidak diiktiraf di wilayah Moro.
Dalam pada itu, sekutu rapat Presiden Filipina, Benigno Aquino, Senator Francis Pangilinan hari ini meminta Nur Misuari memberi peluang kepada pelaksanaan perjanjian itu.
Pangilinan berkata, rundingan damai dengan MNLF pada 1990-an membuka peluang yang membawa kepada pembangunan dan perkembangan di Davao City, General Santos dan Cagayan de Oro.
Beliau menambah, rundingan damai dengan MILF kini perlu dilihat membawa gelombang pembangunan kedua dengan peningkatan ekonomi berlaku di Cotabato, Iligan, Marbel dan Marawi.
"Pembangunan, kemajuan serta perubahan yang bermakna dalam kehidupan penduduk, boleh menamatkan konflik bersenjata dan membantu melenyapkan kewujudan pemberontak," katanya dalam satu kenyataan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121017/lu_01/Penjelasan-untuk-anggota-MILF#ixzz29jF86ua9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment