17 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk insiden tembakan terhadap aktivis Pakistan berumur 14 tahun, Malala Yousafzai, minggu lepas kerana menyuarakan hak bagi kalangan gadis untuk mendapat pendidikan.
"Perbuatan jenayah seperti itu tidak patut dibiar tanpa hukuman dan perlu dihadapkan ke muka pengadilan," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan, dan turut menegaskan bahawa OIC adalah penyokong kuat kepada hak asasi wanita.
Beliau berkata OIC menghormati hak asasi manusia, termasuk hak bagi wanita seperti yang diperuntukkan dalam Program Tindakan 10 Tahunnya, Piagam dan Statut Suruhanjaya Tetap dan Bebas Hak Asasi Manusia OIC.
Laporan menyebut Malala ditembak di kepala dan bahagian atas badan oleh penembak Taliban dekat rumahnya di Lembah Swat dalam satu percubaan bunuh disebabkan sikapnya yang berani berterus terang dan 'mempromosi sekularisme'.
Pada usia 11 tahun, Malala mula menulis blog bagi BBC Urdu tentang hidup di bawah Taliban dan menjadi terkenal pada 2009.
Menggunakan nama samaran Gul Makai, dia menceritakan masalah akibat daripada penguasaan militan ke atas Lembah Swat, iaitu kawasan yang dihuninya sejak 2007, dan mereka turut memerintahkan supaya sekolah bagi pelajar perempuan ditutup. - Bernama
No comments:
Post a Comment