Thursday, December 27, 2012

3 tahun bina semula Lembah Compostela

Taufan Bopha Penduduk membuat pengecaman mayat sewaktu mencari ahli keluarga yang hilang semasa taufan Bopha.
DAVAO (Mindanao) - Pembinaan semula  Lembah Compostela dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas ia dilanda taufan Bopha awal bulan ini.

Gabenor wilayah itu, Arturo Uy berkata dengan bantuan kerajaan pusat dan komuniti antarabangsa, beliau percaya wilayah itu akan pulih dalam tempoh berkenaan walaupun kos kerosakan sehingga kini meningkat lebih 10 bilion peso.

“Sumbangan daripada beberapa negara termasuk Malaysia boleh membantu wilayah ini untuk membangunkan semula infratrukturnya,” katanya kepada media Malaysia selepas kunjungan hormat oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez
Abdul Rahim di pejabat beliau di sini, semalam.

Mengulas mengenai sumbangan perubatan dan barangan keperluan harian oleh KP1M, Uy berkata ia adalah pemberian yang sangat bermakna untuk mangsa di wilayah itu.

“Apabila rakyat menerima bantuan daripada pelbagai institusi terutamanya dari negara jiran Asean seperti Malaysia yang menyumbangkan perubatan dan barangan keperluan harian ia adalah sangat bermakna untuk penduduk di sini,” katanya.

Uy berkata mangsa tidak pernah mengalami taufan yang begitu dahsyat yang pertama kali melanda Mindanao dalam tempoh 100 tahun.

“Lebih 1,000 penduduk terkorban daripada bencana ini selain merosakkan kelapa sawit, ladang getah termasuk rumah.

“Taufan ini juga menjejaskan pertanian kami dengan kerugian kira-kira 10 bilion peso manakala kerugian infrastruktur hampir 4 bilion peso. Ia juga memusnahkan 50,000 ekar (20,000 hektar) ladang pisang,” katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment