BEIRUT: Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah (gambar) memberi amaran kepada Al-Qaeda semalam bahawa ia telah diperdaya untuk berjuang di Syria dan pihak pemberontak tidak akan berjaya menggulingkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad.
“Amerika, Eropah dan sesetengah kerajaan di Arab dan dunia Islam telah membuat perangkap untuk anda di Syria,” kata pemimpin tentera paling berkuasa di Lubnan itu.
“Mereka telah membuka seluruh negara untuk anda agar berhimpun di situ dari semua penjuru dunia dan kemudian membunuh antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan yang disiarkan ketika acara tahunan graduasi universiti di selatan pinggir Beirut.
“Dan anda bersubahat dalam helah ini,” katanya.
Komennya itu dibuat ketika perdebatan mengenai kebangkitan kumpulan jihad kian meningkat di Syria, paling ketara Barisan Al-Nusra yang disenarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh Washington minggu lalu kerana kaitannya dengan Al-Qaeda di Iraq.
“Jika kita mengandaikan kumpulan ini yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan ideologinya mampu mencapai kejayaan satu hari kelak, maka mereka menjadi yang pertama untuk mendapat balasan di Syria sebagaimana di negara lain,” katanya.
Pemimpin Hizbullah yang menjadi sekutu Bashar sejak dulu itu berkata, keadaan di Syria “menjadi semakin rumit”.
Damsyik dan sekutunya menuduh Qatar dan Arab Saudi menyalurkan senjata kepada pemberontak melalui negara jiran Turki dengan kerjasama Barat. Pihak pembangkang menolak sebarang dialog hingga Bashar meletakkan jawatan. - AFP
No comments:
Post a Comment