Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh enggan tunduk kepada desakan beberapa pihak termasuk Pengerusi MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang mahu beliau meminta maaf kepada penduduk Kuantan dan rakyat Malaysia, sebaliknya kerajaan perlu berterima kasih kepadanya berhubung isu projek nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng di Pahang.

“Kenapa harus saya minta maaf? Tiada sebab saya perlu minta maaf.

“Seharus bukan memohon maaf, sebaliknya (kerajaan perlu) berterima kasih kerana tindakan-tindakan terpaksa diambil,  kalau nak harapkan MCA, Pengerusinya, Datuk Ti Lian Ker... syarikat itu dah buat duit berjuta-juta dan rakyat yang terdedah kepada potensi bahaya,” kata beliau kepada Sinar Harian Online yang dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai desakan itu, Ahli Parlimen Kuantan ini berkata, sekiranya beliau tidak membuat pendedahan tersebut, sudah pasti orang ramai tidak mengetahui akan bahayanya sisa radioaktif nadir bumi itu jika tidak dilupuskan dengan betul.

“Oleh sebab tekanan daripada sayalah kerajaan terpaksa membuat beberapa perkara.

“Sebelum ini, tidak ada garis panduan untuk pengurusan sisa buangan bahan radioaktif, tapi sekarang dah ada garis panduan itu,” katanya.

Beliau menegaskan kenyataan Lian Ker itu satu cubaan untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar, bukannya bahaya radiasi tetapi pengurusan sisa radioaktif.

“Kita bercakap tentang pengurusan sisa radioaktif yang masih belum diselesaikan," katanya.

Kata Naib Presiden PKR ini, apa yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang menentang beliau hanya "isu radiasi."

"Tapi kita bangkitkan isu pengurusan sisa radioaktif serta isu alam sekitar yang langsung tidak diusik dan disentuh oleh mana-mana pihak,” katanyan sambil menyifatkan Barisan Nasional cuba mengalih isu demi melindungi diri mereka.

Sebelum itu, beberapa pergerakan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan telah membuat laporan polis ke atas Fuziah setelah beliau dilihat berterusan membuat kenyataan negatif berkenaan LAMP.

Selain itu, beberapa NGO di Pahang mendesak Fuziah supaya memohon maaf kepada LAMP berhubung kesilapan daripada pembohongan dan penyelewengan fakta tanpa asas saintifik mengenai kilang  memproses nadir bumi itu.

Mereka mahu Fuziah dan kumpulan anti-Lynas mencontohi portal berita Free Malaysia Today yang memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu pada Julai lepas.