Tuesday, December 18, 2012

Bakal PM Jepun mahu bertegas dengan China



ABE (dalam bulatan) bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat partinya di Tokyo semalam.


TOKYO - Bakal Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shinzo Abe yang mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan China terhadap tuntutan sebuah kepulauan di Laut China Timur.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas LDP memenangi pilihan raya Jepun kelmarin dengan memperoleh 294 daripada 480 kerusi parlimen di Dewan Perwakilan.
Pemerintah China kini lebih berhati-hati dengan Abe selepas kemenangan beliau.
"Kepulauan Senkaku merupakan wilayah yang diwarisi Jepun," kata Abe pada satu sidang akhbar.
Kepulauan Senkaku yang menjadi perebutan itu turut dikenali sebagai Diaoyu di China.
Abe juga berikrar untuk memulihkan kembali ekonomi Jepun ke landasan yang betul selepas setahun mengalami deflasi.
Memburukkan lagi apabila mata wang yen melambung tinggi sehingga menyebabkan harga barang yang dieksport turut naik.
Menurut Pengarah Institut Pengajian Jepun di Seoul Korea Selatan, Park Cheol-Hee, Abe, 58, memiliki semangat nasionalisme yang tinggi dan kadangkala mengeluarkan kata-kata kontroversi.
Abe yang merupakan Presiden LDP ialah Perdana Menteri ke-90 Jepun yang mula berkhidmat pada 26 September 2006 sebelum meletak jawatan pada 27 September 2007.
Jawatan beliau diambil alih oleh Yasuo Fukuda sebelum LDP kalah pada pilihan raya pada tahun 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ).
Parti LDP hanya memenangi sebanyak 118 kerusi dan parti pembangkang DPJ berjaya memperolehi sebanyak 230 kerusi pada tahun itu.
Dalam pilihan raya kelmarin, DPJ hanya berjaya memenangi 57 kerusi sahaja.
Kekalahan teruk parti DPJ pimpinan Perdana Menteri Yoshihiko Noda itu disebabkan pentadbiran beliau gagal menangani pelbagai masalah termasuk bencana gempa bumi, tsunami dan kebocoran loji tenaga nuklear di Fukushima.
Rakyat Jepun juga marah apabila Noda bertindak meluluskan kenaikan cukai jualan sebanyak 10 peratus pada Jun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2FLkwAcDH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment