Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Rumah banglo di Assam Kumbang, Taiping yang terbakar pada 13 November lalu.
Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Jenazah mangsa ditemui dalam keadaan rentung
Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Zubair Puteh
SEORANG akauntan di Royal Bank of Scotland, Mohd Hakimi Zubair, 40, isterinya, pakar teknologi maklumat, Leila Sahak, 40, anak bongsu pasangan ini, Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah warga Indonesia, Rizki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah banglo di Assam Kumbang, Taiping tanggal 13 November 2012 lalu.

Kejadian menyayat hati ini terjadi apabila mereka sekeluarga pulang bercuti ke kampung halaman dan dikatakan Allahyarham menyambung cutinya lagi sehari hanya kerana mahu menikmati kuetiau Kombat,  namun tidak dapat menikmati makanan tersebut kerana kedai berkenaan tutup.

Di ruangan Di Sebalik Tragedi berkongsi kisah sedih ini bersama bapa Allahyarham, Zubair Puteh, 73, antara yang terselamat dalam tragedi kebakaran ini kerana tidur di bilik bawah banglo berkenaan. Jelasnya, anaknya itu adalah seorang anak yang baik namun takdir menentukan segala-galanya dan beliau redha dengan setiap ujian ALLAh SWT.

“Buat masa ini, pihak keluarga sudah berbincang tetapi belum dimuktamadkan lagi. Anak sulung Allahyarham, Lokman Hafiz, 13 yang akan memasuki tingkatan dua tahun depan akan kekal di sekolahnya, Sekolah Menengah Sains Selangor. Manakala dua lagi, Ain Najwa, 11 dan adiknya, Aizad Fahmi, 8 tahun, besar kemungkinan akan duduk bersama nenek mereka, Hadijah Mongin di Kampung Jambatan Duyong, Melaka.

“Ada juga beberapa pilihan di mana kalau cucu-cucu saya bersetuju, mereka akan tinggal bersama bapa saudara mereka, seorang konsultan perubatan yang tinggal berdekatan rumah mereka sebelum ini (Alam Damai, Cheras).

Saya turut mendengar, emak saudara menantu saya akan tinggal bersama cucu-cucu saya di rumah mereka. Kalau budak-budak itu bersetuju, mereka tidak akan berpindah ke mana-mana. Rumah yang dibeli oleh Allahyarham ketika hayat itu tidak akan dijual, sebaliknya akan diletakkan anak-anaknya sebagai penama. Kami semua akan membantu dan menjenguk mereka selalu.

“Soal kewangan tidak timbul. Insya-ALLAH anak-anak saya akan membantu keperluan cucu-cucu saya ini sehingga mereka dewasa. Apa yang mereka perlukan sekarang adalah sokongan moral kerana kehilangan ibu dan bapa serentak dalam kebakaran itu. Apa pun saya serahkan kepada mereka untuk membuat pilihan di mana mereka mahu tinggal. Ini kerana masa mereka masih panjang,” demikian kata Zubair Puteh, 73 ketika dihubungi.

Kisah sedih pak cik Zubair turut merentap semangat penulis.  Di sebalik raut wajahnya yang tenang, sesekali dia meraut air mata. Sewaktu penulis menelefonnya, pak cik Zubair memberitahu, mereka sekeluarga baru saja berbincang mengenai masa depan cucu-cucu kesayangannya itu.

Ketika diminta berkongsi kisah sedih yang meragut nyawa anak ketiganya, Mohd Hakimi, 40, menantunya, Leila Sahak, 40, cucunya, Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah dalam kebakaran banglo miliknya, 13 November lalu, tangisan tidak dapat dihindarinya.

“Sebaik pihak bomba dapat memadamkan kebakaran dan mengeluarkan jenazah anak menantu dan cucu, biarpun dalam keadaannya rentung, saya terus menerpa, memeluk dan mencium mereka.

Saya sudah tidak kisah pada keadaannya, tapi saya tahu itu adalah pelukan terakhir yang saya dapat berikan kepada mereka,” katanya yang terus menangis ketika bercerita. Namun begitu, segera pak cik Zubair beristighfar.

Ketika diminta bercerita tentang apa yang terjadi, jelas pakcik Zubair, hari raya lalu Hakimi sekeluarga sempat berhari raya bersamanya. Malah dia begitu menikmati setiap hidangan yang disediakan.

“Raya haji lalu, allahyarham balik ke Melaka bersama keluarganya dan cuti Deepavali ini Hakimi gunakan untuk ke rumah saya pula. Saya menyiapkan pelbagai hidangan untuk dinikmati bersama-sama iaitu ketupat, lemang, serunding dan sebagainya.

“Mereka sampai di rumah kira-kira jam 12 tengah malam. Saya menyuruh mereka makan tetapi masing-masing sudah kenyang kerana singgah makan di hentian Rawang. Esok paginya, Hakimi bangun bersembahyang Subuh di masjid berdekatan dan dia membelikan roti canai sebagai sarapan.

Hari itu kami sekeluarga makan di tepi tasik dan memesan makanan kegemarannya. Sayang sekali, makanan kegemaran yang pesan itu tidak dapat dinikmati kerana pekedai salah mengambil pesanan. Hakimi nampak terkilan dan memberitahu, dia tidak mahu lagi datang ke kedai itu. Saya hanya diam.

“Selesai makan mereka sekeluarga ke Bukit Merah untuk menghabiskan cuti. Sebelum pulang ke ibu kota, allahyarham bermalam di rumah saya semalam lagi. Sepatutnya allahyarham perlu balik kerana ada mesyuarat, tapi menangguhkannya kerana mahu berada lama di kampung.

Malamnya, Hakimi berkata, dia begitu berhajat untuk makan kuetiau kombat yang menjadi kegemaran kami sekeluarga, malah allahyarham menambah satu hari cutinya kerana mahu menikmati kuetiau itu.

“Malangnya kedai kuetiau itu tutup pada malam tersebut. Untuk tidak menghampa allahyarham saya membeli kuetiau di kedai lain. Allahyarham hanya menjamah sedikit kuetiau itu dan meminta saya menyimpan selebihnya dalam peti sejuk untuk dimakan semula keesokan harinya.

“Malamnya saya ke hospital melawat anak dan membawa sama tiga orang cucu-cucu, manakala Hakimi pula keluar. Saya tidak tahu ke mana dia pergi. Dalam jam 10 malam, saya sampai ke rumah tetapi Hakimi masih belum balik lagi. Saya masuk tidur di bilik bawah, manakala cucu-cucu saya tidur di ruang tamu. Saya terjaga ketika Hakimi pulang tetapi pula sempat berbual,” ujar pak cik Zubair.


Hasrat tidak tercapai

Pak cik Zubair juga sukar melupakan kenangan terakhir bersama menantunya. Katanya, malam itu menantunya itu merancang untuk membuat cucur pisang untuk sarapan pagi esoknya untuk mereka.

Dia tahu menantunya sukakan cucur pisang kerana itu, dia sanggup ke kedai membelikan tepung. Namun hasrat menantunya itu tidak kesampaian apabila tengah malam tersebut dia menemui ajal bersama suami dan anak bongsunya.

“Kira-kira jam 12.15 tengah malam saya terdengar suara cucu menjerit api dan sedang marak membakar rumah. Apabila keluar dari bilik, saya lihat bumbung rumah dan kayu-kayu mula jatuh. Kami berlari keluar rumah dan apa yang terlintas di fikiran ialah menelefon pihak bomba. Ketika itu saya memikirkan semua ahli keluarga saya sudah selamat berlari keluar rumah.

“Tapi malangnya selepas pihak bomba datang kira-kira 15 minit kemudian dan api berjaya dipadamkan, saya terpaksa menerima hakikat, anak, menantu dan cucu saya rentung terbakar,” kata bapa kepada lapan anak ini dalam nada sebak. 

Jelasnya ketika ditemui, Leila dalam keadaan memeluk anaknya, Ahmad Faris, manakala Hakimi berada di balkoni rumah. Mungkin dia sedang sedaya upaya mahu meminta pertolongan. Pembantu rumah mereka tinggal di bilik sebelah juga ditemui rentung,” katanya.


Sepatutnya ke Ireland

Jelas Zubair yang kematian isteri lapan tahun lalu, dia mendiami rumah tersebut bersama anak bongsunya, Rozita, 31, yang juga seorang guru. Jelasnya, sepatutnya anaknya Hakimi akan ke Ireland untuk menghadiri mesyuarat syarikatnya.

“Hakimi memberitahu saya akan bertemu adiknya di London dan menginap di rumah adiknya itu sehari dua sebelum ke mesyuarat tersebut. Tapi malangnya, Allahyarham tiada kesempatan melakukannya, kerana dia ditakdirkan menemui ALLAH dengan awal daripada itu,” katanya mengakui kelapan-lapan anaknya berjaya dalam pelajaran. Anak sulungnya seorang jurutera, kedua dan ketiga (termasuk Hakimi) seorang akauntan, anak keempatnya seorang kaunselor pakar perubatan, kelima (meninggal ketika kecil), keenam seorang pensyarah universiti, manakala ketujuh, seorang pegawai bank dan yang bongsu, seorang guru.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan ibu allahyarham Leila, Hadijah Mongin, 62 berkata, dia redha dan pasrah dengan kejadian menimpa anak, menantu dan cucunya malah sempat bertemu mereka pada sambutan Aidiladha lalu.

“Kami semua bergegas ke Taiping apabila dihubungi pada jam 2.30 pagi. Saya juga berharap dapat menjaga cucu-cucu saya kerana mereka rapat dengan saya sebelum ini,” katanya mengakui anaknya itu adalah anak sulung dari enam beradik dan begitu bertanggungjawab dengan adik-adiknya. Malah dia tidak menyangka apa yang berlaku kepada anak sulungnya itu.


Hanya ada masa empat minit

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Tuan Mohd Sani Harul, 46, berkata, mangsa kebakaran biasanya hanya mempunyai empat minit untuk menyelamatkan diri atau terpaksa berhadapan dengan risiko lain sekiranya tidak dapat melepaskan diri dari rumah saat api marak. Menurutnya, selepas empat minit keadaan akan lebih berisiko di mana kita akan mudah terhidu asap beracun.

“Dalam keadaan normal khususnya ketika tidur, manusia memerlukan 21 peratus oksigen untuk bernafas dengan sempurna. Namun apabila berlaku kebakaran dan asap mula menebal, paras oksigen akan turun menjadi 17 peratus sahaja.

Ketika ini, kita akan mula sukar bernafas, pemikiran sedikit terjejas dan adakalanya otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Bagi orang yang tidur lena, biasanya mereka tidak akan sedar bahaya ini, namun apabila paras oksigen menurun kepada 12 hingga 10 peratus biasanya orang yang terhidu asap tebal akan pengsan dan besar kemungkinan mereka tidak dapat melarikan diri dari api yang mula marak,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Tuan Mohd Sani lagi, empat hingga enam minit adalah saat paling kritikal bergantung kepada jenis kebakaran.

“Asap beracun ini kita boleh bahagikan kepada empat jenis iaitu karbon monoksida di mana ia akan mengurangkan oksigen di dalam darah dengan kadar yang cepat.

Keduanya, Hidrogen Sinida iaitu sejenis gas beracun  yang melibatkan kebakaran seperti nylon, sutera dan jenis-jenis plastik. Gas ketiga ialah gas Hidrogen Klorida  yang akan mengakibatkan gatal pada mata dan tekak, dan mata menjadi kabur. Terakhir ialah gas Karbon Dioksida  yang mana apabila asap terlalu banyak ia akan masuk ke paru-paru apabila kita mula terhidu atau menarik nafas.

“Jenis-jenis gas beracun ini ada kalanya adalah barangan yang kita simpan di dalam rumah. Sebaiknya jika menyedari berlaku kebakaran, kita harus keluar dari rumah seberapa segera dan jika kebakaran berlaku pada waktu malam kita sedang lena tidur, masa yang ada untuk menyelamatkan diri hanyalah 4 minit sahaja dan sekiranya terlewat, banyak risiko lain mengundang,” jelasnya sambil menambah, apabila seseorang terhidu gas beracun dengan kadar yang banyak ia akan menjejaskan daya fikir.

Menjawab satu soalan, Tuan Sani menjelaskan terdapat dua punca  kematian dalam kebakaran iaitu  mati akibat terbakar/melecur dan keduanya melibatkan terhidu asap gas dalam kuantiti yang banyak.

Tiga perempat kes yang biasa dikendalikan biasanya  melibatkan terhidu asap gas beracun.

Dalam pada itu, Tuan Sani menjelaskan punca kebakaran  terbahagi kepada tiga iaitu penggunaan lilin, keduanya peralatan elektrik yang digunakan mungkin sudah lama dan ketiganya penggunaan elektrik yang berlebihan (litar pintas).

“Ada beberapa jenis kategori  rumah iaitu jenis A (rumah teres, batu, mengikut piawaian pemaju), jenis B setengah batu dan setengah kayu dan jenis C rumah kayu sepenuhnya. Biasanya jabatan Bomba dan Penyelamat sudah mengambil kira semua aspek dan kita akan mengikut standard yang telah ditetapkan ketika operasi.


* Artikel dipetik dari majalah Mingguan Wanita