Hujan mortar pembuka tirai 2013 Syria
Penduduk Syria melarikan diri dari terkena bedilan mortar yang dilancarkan tentera Assad dan pemberontak.
ALEPPO - Majoriti penduduk Syria menyambut tahun baru dengan dentuman bom dan mortar oleh tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad sejak dua hari lalu.

Menurut pegawai, lapangan terbang antarabangsa wilayah Aleppo yang sebelum ini ditawan kumpulan pemberontak terpaksa ditutup buat sementara waktu selepas tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas pemberontak dan kawasan ditawan.

"Kita menjangkakan pemberontak akan terus menembak pesawat udara awam yang menyebabkan satu bencana kemanusiaan," kata pegawai lapangan terbang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menafikan berita tersebut dengan berkata lapangan terbang berkenaan ditutup kerana kerja penyelenggaraan landasan dan beberapa kemudahan lain.

Setakat ini, wilayah Aleppo masih digenggam tentera pembebasan Syria sejak Julai tahun lalu, susulan serangan secara besar-besaran yang dilancarkan mereka.

Kumpulan pemerhati hak asasi kemanusiaan Syria melaporkan, seramai 160 orang terbunuh pada hari terakhir 2012 termasuk sekurang-kurang 37 tentera kerajaan.

"Kira-kira 45,000 orang telah terkorban sejak pemberontakan tercetus di Syria pada awal 2011 lalu," katanya.  - Al-Jazeera