Thursday, January 3, 2013

Pertempuran berlarutan di sekitar Aleppo, Idlib



 
Damsyik: Pertempuran antara askar kerajaan dan pemberontak sejak Isnin lalu memaksa penutupan lapangan terbang Aleppo.

Pertempuran juga meletus di markas tentera udara Taftanaz, Idlib, selain kawasan pinggir ibu negara Damsyik.
Pertempuran di markas tentera udara Aleppo menunjukkan pemberontak semakin mara ke kota utama Syria.

Bagaimanapun, tidak diketahui berapa ramai askar atau pemberontak terbunuh dalam pertempuran di Idlib, kata Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.

Pemberontak pada awalnya berkata mahu menyasarkan pesawat awam kerana ia digunakan untuk menghantar senjata dan askar tambahan ke lokasi tentera kerajaan.

Aktivis berkata, lebih 46,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata 22 bulan itu.

Di daerah Daraya, pinggir Damsyik, pertempuran sengit meletus dan jet pejuang mengebom kedudukan pemberontak.
Kawasan itu strategik kerana berdekatan dengan daerah Mezzah yang menempatkan sebuah markas tentera udara selain Kfar Sousseh yang banyak menempatkan kemudahan kerajaan termasuk perisikan.

“Tiada ucapan Selamat Tahun Baru untuk kamu,” kata Moaz al-Shami, aktivis pembangkang yang tinggal di daerah Mezzah.

Ketika banyak pihak meramalkan Presiden Bashar al-Assad sukar bertahan lama, ada yang menasihatkan mereka supaya tidak menaruh harapan tinggi.

Pemantau Syria, Joshua Landis memberitahu NPR bahawa Bashar akan terus selamat hingga 2013.

“Saya tidak fikir beliau dapat mempertahankan Damsyik sampai bila-bila. Ia akan lebih sukar daripada apa yang diramalkan,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment