Kabul: Hamid Karzai mengarahkan pasukan khas AS meninggalkan sebuah wilayah strategik di Afghanistan, membayangkan keinginannya mengawal militia serta menguatkan lagi ketegangan di negara itu.
Menurut Presiden Afghanistan itu, dia memberi tempoh dua minggu kepada pasukan terbabit keluar dari Wardak yang menjadi pusat aktiviti Taliban.
Akhbar The New York Times melaporkan, arahan Hamid dikeluarkan sebagai langkah terakhir selepas mereka cuba dan gagal mendapatkan kerjasama tentera asing dalam siasatan kes pembunuhan serta penyeksaan penduduk negara itu.
“Keputusan diambil kerana individu bersenjata yang bekerja dengan tentera AS terbabit mengganggu, menyeksa, malah membunuh rakyat tidak berdosa,” katanya. Antara contoh diambil, kes seorang pelajar yang dilarikan dari rumahnya pada waktu malam dan ditemui mati dengan kesan penderaan serta dikelar di leher dua hari kemudian. Kabul tidak menamakan kumpulan yang terbabit tetapi difahamkan, AS melatih pelbagai kumpulan militia tempatan dan sesetengahnya beroperasi di luar kawalan kerajaan. Wardak adalah kawasan sangat bermasalah dan sebuah helikopter Chinook AS pernah ditembak jatuh oleh Taliban pada Ogos 2011.
Seramai lapan warga Afghanistan dan 30 warga AS terbunuh dalam insiden itu.
Sementara itu, tentera AS berkata, mereka akan membincangkan isu itu dengan pegawai Afghanistan dan memandang serius setiap dakwaan salah laku. - AFP
No comments:
Post a Comment