Kuala Lumpur: Golongan pelajar dikenal pasti paling ramai memanfaatkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini (Baby Hatch) oleh Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan Care) apabila seramai 31 bayi tidak diingini golongan itu dihantar ke pusat berkenaan.
Setiausaha Kerjanya Azra Banu berkata, pelajar terbabit terdiri daripada warga tempatan dan warga asing manakala seramai 30 bekerja dan enam masih menganggur turut menyerahkan bayi mereka ke pusat itu.
“Sejak ditubuhkan pada 29 Mei 2010 sehingga kini, 71 bayi tidak diingini di seluruh negara diserahkan kepada Baby Hatch. Daripada jumlah itu empat daripadanya diserahkan tanpa pengenalan atau dokumen serta tidak diketahui ibu atau keluarganya.
“Selain warga tempatan, 14 warga asing turut menghantar bayi mereka ke pusat itu terdiri daripada pelajar dan pekerja dari beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia, Timur Tengah dan Afrika.
“Ibu bayi dihantar di sini kebanyakannya berumur antara 18 hingga 30 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Azra berkata, Baby Hatch juga kini diwujudkan di Johor Bahru, Johor manakala di Kota Bharu, Kelantan dijangka dilancarkan selewat-lewatnya bulan depan.
“Kita juga berjaya memujuk 28 ibu agar tidak menyerahkan bayi mereka di Baby Hatch sebaliknya menjaga sendiri anak mereka dengan bantuan keluarga masing-masing selepas melalui sesi kaunseling.
“Bagaimanapun, kami tetap berharap kes pembuangan bayi berkurangan sekali gus tidak memerlukan lebih banyak Baby Hatch pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Azra, sehingga kini ramai pasangan sudah lama berkahwin dan tidak memiliki anak datang untuk menghantar permohonan bagi urusan anak angkat.
“Sehingga Januari lalu, 2,566 pasangan menghantar permohonan manakala hampir 490 pasangan pula menunggu giliran,” katanya.
No comments:
Post a Comment