Sunday, April 28, 2013

Dendam Kerisek belum padam



Bangkok: Tentera, polis dan orang awam di Pattani meningkatkan langkah keselamatan menjelang ulang tahun kesembilan insiden keganasan di Masjid Kerisek hari ini.

Antara langkah tambahan yang diambil sejak malam kelmarin termasuk mewujudkan lebih banyak pusat pemeriksaan dan meningkatkan pemeriksaan di kawasan yang menjadi tempat persembunyian pejuang pemisah.


Pasukan keselamatan turut mengambil langkah berjaga-jaga selepas anggota gabungan agensi kerajaan membunuh tiga suspek pemisah dalam satu pertempuran di Yala semalam.

Laporan risikan mengatakan empat kenderaan dua kereta dan dua trak pikap yang dipenuhi muatan bom akan dibawa ke Pattani untuk melakukan serangan bagi menandakan ulang tahun kesembilan insiden itu yang berlaku pada 28 April 2004.


Kejadian yang berlaku ketika pemerintahan Thaksin Shinawatra itu menyaksikan 32 pejuang pemisah berlindung di masjid berkenaan yang terletak di lebuh raya Pattani-Narathiwat di daerah Muang. Selepas berdepan kebuntuan selama tujuh jam, tentera Thailand bertindak menyerang dan membunuh semua 42 orang, termasuk orang awam, yang berada dalam masjid itu. Tindakan itu dikritik hebat pelbagai pihak kerana kerajaan menggunakan paksaan bagi menyelesaikan ketegangan berkenaan.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan semalam seorang renjer maut akibat ditembak dan dua lagi cedera dalam serangan terbaru di Pattani.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.05 pagi itu, Muhammai Saifu Abdultolep cedera parah ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah kampung di daerah Sai Buri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Muhammai maut ketika menerima rawatan di Hospital Sai Buri.


Dalam insiden pada jam 9.30 pagi pula, sebutir bom meletup ketika sekumpulan renjer sedang membuat rondaan secara berjalan kaki di Kampung Moo 3 di Paseyawo. Selepas insiden itu tercetus pertempuran antara pejuang pemisah dan tentera. Dua renjer, Thirasak Sudari, 25, dan Sithichai Thammachart, 22, mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke hospital. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment