Sunday, April 28, 2013

Taliban umum ‘serangan musim bunga’ bermula



Kabul: Kumpulan Taliban di Afghanistan semalam mengumumkan bermulanya ‘serangan musim bunga’ tahunan terhadap kerajaan disokong Amerika Syarikat, sambil berikrar melancarkan beberapa siri serangan di seluruh negara ketika tentera asing berundur.

Kumpulan itu berkata, pelbagai serangan pengeboman berani mati, ‘serangan dalaman’ oleh tentera Afghanistan dan ‘taktik tentera khas’ akan menyasarkan pangkalan udara antarabangsa dan bangunan diplomatik untuk mencetuskan korban maksimum.


Mereka memberi amaran kepada rakyat tempatan yang bekerja untuk Presiden Hamid Karzai agar menjauhkan diri daripada kerajaan bagi mengelak ditangkap dalam keganasan dijanjikan dan menggesa golongan muda agar tidak menyertai polis atau tentera. ‘Musim perang’ tahun ini dilihat genting kepada masa depan Afghanistan berikutan pasukan keselamatannya yang sering dikritik memerangi pemberontak yang sudah menentang kerajaan kabul sejak 2001. Operasi gempur Nato di Afghanistan dijangka berakhir tahun depan dan komander tentera bersekutu mengatakan tentera tempatan dan polis sudah melakukan cukup kemajuan untuk memberikan khidmat keselamatan dan menyingkirkan Taliban. - AFP

No comments:

Post a Comment