Kuala Lumpur: Suami pelakon Noniswara, Datuk Rosman Ridzwan gagal hadir buat kali kedua pada sebutan kes tuntutan cerai yang difailkan isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam berikutan saman tidak dapat diserahkan kepadanya.
Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Muhammad Jimmy Muhammad Azlin, peguam Datuk Amli Embong yang mewakili Nonis memaklumkan pihaknya sudah melakukan pelbagai cara untuk menyerahkan saman kepada Rosman, 56, (defendan) supaya hadir ke mahkamah termasuk menghubungi pejabat defendan dan meninggalkan pesanan kepada pekerjanya, namun defendan masih tidak berjaya dihubungi.
“Defendan yang meminta plaintif (Noniswara) untuk memfailkan tuntutan itu, namun bila kita failkan defendan seolah-olah mengelak daripada menerima saman,” katanya. Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharudin, 44, pula melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan suaminya itu. “Saya cuba SMS defendan, dia kata teruskan. Apa saja keputusan saya setuju tapi sampai bila saya harus berterusan begini. Kami memang tidak boleh teruskan lagi sebagai suami isteri.
“Dia tanya saya bila nak bawa kes ke mahkamah, tapi bila jadi begini, dia buat tak tahu saja,” jelas Noniswara kepada mahkamah. Noniswara memfailkan tuntutan cerai mengikut Seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Februari lalu. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan 18 April ini untuk pihak plaintif mencuba lagi menyampaikan saman kepada defendan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Amli menjelaskan, selagi Rosman tidak hadir ke mahkamah, tuntutan cerai itu tidak boleh diteruskan. Tambahnya, sekiranya defendan gagal berbuat demikian, pihak mereka akan cuba membuat permohonan lain untuk menyelesaikan isu perceraian ini.
Sementara itu, Noniswara berkata, apa yang dia lakukan adalah apa yang suaminya inginkan, namun suaminya seakan tidak mahu memberi kerjasama.
“Saya turutkan kehendak dia tapi tiada kerjasama. Saya tidak tahu apa yang dia mahu,” katanya yang tidak menafikan wujud ‘orang ketiga’ di antara mereka.
No comments:
Post a Comment