Friday, April 12, 2013

5 sekeluarga hidup dalam keadaan daif

Lima sekeluarga hidup dalam keadaan daif
Rumah didiami lima sekeluarga di Kampung Payang Kayu ini
 tidak mempunyai bekalan elektrik
Lima sekeluarga hidup dalam keadaan daif
Nurul Syuhada dan anak sulungnya, Nur Aliya Natasha,7,
 di sudut dapur rumah mereka.
Lima sekeluarga hidup dalam keadaan daif
Keadaan bilik mandi digunakan Nurul Syuhada sekeluarga.
HULU TERENGGANU - Tatkala kediaman insan lain mempunyai bekalan elektrik menerangi kegelapan malam, namun bagi lima sekeluarga di sini, malam mereka hanya ditemani lilin sejak enam bulan lalu.

Malah, Rafi Mamat, 37, dan isteri, Nurul Syuhada Mohd, 27, serta tiga anak mereka bukan sahaja terpaksa lelapkan mata dalam kesejukan sekiranya hujan, tetapi juga perlu berhati-hati melangkah dek kerana lantai yang reput.

Nurul Syuhada berkata, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di rumah ibunya di Kampung Kuala Ping dan mengambil keputusan berpindah ke rumah didiaminya kini berikutan kediaman ibunya itu agak ramai dengan ahli keluarga yang lain.

“Rumah ini asalnya milik ayah mentua tetapi dia berpindah dan turut merobohkan sebahagian dinding ini untuk dia gunakan kembali bagi membina rumah barunya.

“Sejak enam bulan lalu, suami terpaksa mencari sedikit demi sedikit papan bagi menutup sebahagian rumah yang tidak berdinding. Keadaan lantai rumah juga reput dan pernah beberapa kali anak-anak saya terperosok. Suami hanya melakukan kerja-kerja kampung, pendapatan juga tidak menentu iaitu sekitar RM500 sebulan," katanya.


Nasi berlauk kicap, telur

Menurutnya, kadang-kala, mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut kerana tidak cukup duit untuk membeli barangan keperluan dapur.
"Nasi berlauk kicap dan telur adalah makanan seharian kami. Jika ada duit lebih, barulah kami dapat makan ayam,” katanya di sini, kelmarin.

Tambah Nurul Syuhada, rumah yang didiaminya itu bukan sahaja tiada bekalan elektrik, tetapi juga tidak mempunyai bilik tidur dan mereka sekeluarga hanya tidur di satu sudut rumah yang lantainya masih selamat untuk dipijak biarpun terletak berhampiran dapur.

“Bekalan air kami peroleh dari bukit yang disambung menggunakan paip. Sebelum ini, rumah ayah mentua ini mempunyai bekalan elektrik, tetapi berikutan kerja-kerja merobohkan dinding dilakukan memerlukan kerja-kerja pendawaian dilakukan semula.

“Kewangan yang terhad menyebabkan kami tidak mampu untuk melakukan pendawaian semula.

“Jauh di sudut hati sebagai seorang ibu, saya pasti ingin memberikan keselesaan tempat tinggal dan kemudahan kepada anak-anak yang makin membesar,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail berkata, pihaknya akan turun padang melihat situasi sebenar keluarga berkenaan dan bantuan akan disalurkan mengikut keperluan sekiranya layak.

No comments:

Post a Comment