Bangkok: Kumpulan pemisah di selatan Thailand semalam berkata, mereka mahukan ‘kebebasan’ dari negara itu dan menyuarakan tuntutan, sehari sebelum rundingan yang bertujuan mengakhiri pergolakan selama sembilan tahun.
Thailand mengadakan rundingan damai rasmi yang pertama dengan wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia sebulan lalu, tetapi serangan yang dituding dilakukan pemisah di wilayah selatan negara itu berterusan. Wakil BRN, Hassan Taib yang muncul dalam kenyataan video untuk mendapat sokongan atas usaha kumpulannya menuntut kebebasan berkata, mereka akan mentadbir kawasan berbilang etnik itu dengan ‘adil’.
“Kita patut mendapat kebebasan. Selepas itu, kita boleh mentadbir (kawasan ini) dengan seadil mungkin,” katanya sambil menambah kumpulan itu bertujuan membawa keadilan dan kemakmuran di kawasan itu.
Rakan setugas Hassan, Abdul Karim Khatib yang muncul dalam satu lagi video berkata, BRN mahu Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Islam menjadi orang tengah dalam rundingan itu dan meminta penyertaan pemerhati dari negara lain di rantau itu dan pertubuhan bukan kerajaan. Dia juga menggesa pembebasan semua tahanan.
Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thailand, Paradorn Pattanatabut berkata, dia akan bertemu Hassan untuk pusingan terbaru rundingan esok (hari ini).
“Kami sudah mendengar permintaan mereka dan akan berbincang dengan mereka esok mengenai tuntutan itu,” katanya. “Kami katakan dengan jelas sejak Daria Wallagi bahawa rundingan perlu dilakukan mengikut perlembagaan Thailand dan Malaysia hanya bertindak sebagai fasilitator. Saya rasa Malaysia akan menyatakan yang sama kerana ini adalah isu dalaman Thailand,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment