SEOUL 28 April - Korea Utara dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mengadakan satu latihan ketenteraan secara besar-besaran, ketika ketegangan masih memuncak ekoran rancangan Pyongyang untuk melancarkan ujian peluru berpandu terbaharu dan pengunduran penduduk Korea Selatan dari kompleks industri bersama di Kaesong di sempadan kedua-dua negara.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik sumber kerajaan Seoul melaporkan, Pyongyang sedang membuat persiapan untuk menjalankan latihan tentera melibatkan unit artileri dan pesawat udara di pelabuhan Nampo, barat Korea Utara.
''Latihan itu dilihat akan diadakan pada skala besar,'' kata seorang pegawai yang enggan dikenali.
Pegawai itu turut melahirkan kebimbangan berlakunya provokasi ketenteraan terhadap Seoul atau ujian peluru berpandu oleh Pyongyang dalam latihan tersebut.
Seorang lagi pegawai Seoul berkata, Korea Utara mungkin cuba meningkatkan 'ketegangan ketenteraan' selepas Korea Selatan mengundurkan pekerja-pekerjanya dari kawasan industri Kaesong.
Pyongyang yang marah dengan sekatan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan pelancaran ujian ketiga nuklearnya pada Februari lalu dan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan-Amerika Syarikat (AS), telah mengeluarkan beberapa ancaman serangan peluru berpandu dan perang nuklear terhadap sekutunya itu.
Ancaman pelancaran peluru berpandu tersebut menyebabkan Seoul dan Washington berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak bulan lepas. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_08/Pyongyang-lancar-latihan-tentera-besar-besaran#ixzz2RrecwG7O
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment