Thursday, April 18, 2013

PRU-13: Nik Abduh akui populariti bapa bantu calon Pas, PKR



MACHANG 18 April - Calon Pas untuk Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengakui semua calon parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelantan tidak dapat lari daripada tempias bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas untuk meraih sokongan pengundi.
Beliau secara peribadi bagaimanapun berharap agar pengundi di Parlimen Pasir Mas memilih beliau atas dasar seorang pejuang Islam, bukannya sekadar menumpang populariti bapanya semata-mata.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu bertekad untuk memikul amanah yang diberikan dan bekerja bersama jentera pilihan raya Pas untuk menawan semula Parlimen itu yang kini disandang oleh Datuk Ibrahim Ali.
"Bagi saya, saya adalah anak dan sahabat-sahabat lain adalah anak murid. Semuanya insya-Allah akan menumpang populariti tok guru dan saya, anak ke, anak murid ke, sama sahaja, dan saya yakin rakyat Kelantan terima saya sebagai pejuang parti bukan anak tok guru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon Pas dan Parti Keadilan Rakyat di Kelantan untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Pengumuman Nik Abduh sebagai calon menyaksikan berlaku pertembungan tiga penjuru di Parlimen itu selepas Barisan Nasional (BN) Kelantan menamakan calon mereka, Che Johan Che Pa untuk bertanding di kawasan sama.
Sementara itu, Ibrahim yang sebelum ini dijangka mempertahankan kerusi itu atas tiket BN telah menyatakan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas sekali lagi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130418/px_07/PRU-13-Nik-Abduh-akui-populariti-bapa-bantu-calon-Pas-PKR#ixzz2Qn9UDs4u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment