Thursday, April 18, 2013

Tiada lagi rundingan



Tentera Korea Selatan memantau keadaan dari atas kereta kebal K55 berdekatan sempadan Paju, semalam. Korea Utara mengharamkan sebarang bekalan penghantaran ke Korea Selatan selepas menutup zon industri di Kaesong ekoran Presiden Korea Utara tidak mahu mengadakan sebarang rundingan. - AFP
SEOUL 17 April - Korea Utara menegaskan pihaknya tidak akan kembali ke sebarang meja rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), lapor media hari ini, ketika ketegangan di Semenanjung Korea semakin meningkat.
Agensi berita, Korean Central News Agency berkata, negara itu tidak menentang sebarang dialog namun tidak akan ke meja rundingan dengan pihak yang mengutuk negara itu.
''Desakan AS supaya Korea Utara menunjukkan keinginan untuk menghentikan hasrat pembinaan senjata nuklearnya sebelum sebarang rundingan diadakan, dianggap sebagai perbuatan provokasi,'' kata Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan.
Setiausaha Negara AS, John Kerry pada minggu lepas menggesa Korea Utara mengambil tindakan bermakna dalam membubarkan program nuklearnya dan menyambung semula rundingan enam pihak melibatkan Korea Selatan, Jepun, AS, Rusia dan China.
Rundingan itu bertujuan menamatkan program nuklear Korea Utara yang tertangguh sejak 2009.
Korea Selatan hari ini menggesa tindakan lebih keras diambil oleh masyarakat antarabangsa selepas pengumuman Pyongyang itu.
Agensi berita Yonhap melaporkan, Presiden Korea Selatan, Park Guen-hye berkata, Korea Utara tidak sepatutnya diberikan 'anugerah' di atas 'kelakuan buruk'.
''Kita perlu memecahkan kitaran mengadakan rundingan dan menyediakan bantuan jika Korea Utara terus mengancam dan mengambil tindakan provokasi,'' katanya. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_08/Tiada-lagi-rundingan#ixzz2QldtVPOl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment