Wednesday, May 15, 2013

Keluarga Marcos menang besar

Keluarga Marcos menang besarImelda (kanan) dan Imee (kiri) gembira selepas diisytiharkan menang. Manila: Anggota keluarga bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos, meraikan kemenangan mudah dalam pilihan raya tempatan semalam dengan Imelda, balunya yang berusia 83 tahun mengetuai kebangkitan semula politik mereka.

Selain itu, bekas Presiden Joseph Estrada diisytiharkan Datuk Bandar baru Manila, jawatan awam pertamanya sejak digulingkan 12 tahun lalu atas dakwaan terbabit dalam rasuah.
Imelda Marcos memperoleh lebih 88 peratus daripada undian kelmarin untuk menang penggal kedua berturut-turut di Dewan Rakyat mewakili kubu kuat keluarga itu di utara, menurut kiraan rasmi.


Imelda menang

Pembantu bekas Wanita Pertama itu menjangka Imelda akan diisytihar pemenang hari ini. Anak perempuannya, Imee, menang tanpa bertanding pada pilihan raya pertengahan penggal sebagai gabenor wilayah Ilocos Norte.

Pencabar utama Marcos, peguam Ferdinand Ignacio, mengaku kalah selepas mendapat kira-kira 10 peratus undian.

“Saya akan mengucapkan tahniah kepadanya. Tiada sebab untuk bermasam muka. Inilah makna demokrasi sebenar,” katanya.
Sepupu Imee, Angelo Barba, melengkapkan kemenangan keluarga itu selepas menang tanpa bertanding untuk jawatan naib gabenor, menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya.

Separuh jalan

Sementara itu, anak lelaki bekas diktator itu, Ferdinand Marcos Jnr, sudah berada separuh jalan daripada sepenggal enam tahun dalam Senat dan dijangka bertanding merebut jawatan presiden pada 2016.

Keluarga berkenaan hidup dalam buangan di Amerika Syarikat apabila kebangkitan rakyat secara aman yang dibantu tentera menamatkan pemerintahan Marcos selama 20 tahun pada 1986.

Diktator itu, isteri dan kroni mereka dituduh mencuri berbilion dolar, membunuh atau memenjarakan beribu pengkritik dan menjalani gaya hidup mewah ketika majoriti rakyat negara itu dihimpit kemiskinan.

Koleksi kasut Imelda, gaya hidup mewah menjadi simbol pemerintahan keterlaluan suaminya. Kerajaan Filipina memperoleh semula kira-kira AS$4 bilion (RM12 bilion) daripada aset Marcos, tetapi Imelda sentiasa menegaskan keluarganya tidak bersalah dan mengatasi semua dakwaan rasuah terhadapnya.

Selepas Marcos meninggal di Hawaii pada 1989, Imelda dan anaknya kembali ke Filipina untuk membina semula jenama keluarga itu dari Ilocos Norte.

Ferdinand Marcos Jnr memperoleh sokongan seorang bagi setiap tiga pengundi pada pilihan raya 2010, memberikan harapan kepada cita-cita ibunya untuk kembali kepada istana presiden sebagai ‘Ibu Pertama’.

Sementara itu, Estrada, 76, menggunakan popularitinya sebagai bekas aktor yang disenangi khususnya golongan miskin dengan berjanji mengubah keadaan terutama di Teluk Manila.

Ibu negara itu pernah menjadi tempat pelancongan tetapi ramai penduduk mengadu jenayah kerap berlaku.

“Saya tiada matlamat lain kecuali menawarkan pengalaman saki baki hidup yang ada untuk berkhidmat, bersungguh-sungguh untuk membantu orang miskin,” katanya kepada penyokongnya.

AFP

No comments:

Post a Comment