Wednesday, May 8, 2013

Nasrudin ajak Saifuddin sertai panel Temerloh

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh yang baru Nasrudin Hassan hari ini membayangkan mahu mengajak bekas lawannya Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama sebagai anggota panel perunding untuk parlimen itu yang akan ditubuhkan.

Menurut Nasrudin, panel tersebut akan memperincikan idea pembangunan Temerloh di bawah tema "Temerloh Daerah Berkebajikan".

"Saya akan tubuhkan Panel Perunding "Temerloh Daerah Berkebajikan" dan bercadang untuk menjemput sahabat saya Datuk Saifuddin Abdullah menyertainya agar turut sama menyumbang idea kearah pembangunan rakyat dan kemajuan daerah Temerloh.

"Mudah-mudahan Datuk Saifudin tidak menghampakan saya dan rakyat Temerloh," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Mewujudkan panel perunding "Temerloh Daerah Berkebajikan" adalah merupakan salah satu tawaran dalam manifesto Nasrudin pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Dalam keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, Nasrudin mewakili PAS berjaya memenangi parlimen Temerloh.

Beliau mendapat 28,267 undi mengatasi calon BN Saifuddin Abdullah yang memperoleh 27,197.

No comments:

Post a Comment