SEOUL 7 Mei - Korea Utara dilihat mengambil langkah drastik dengan menarik balik rancangan ujian peluru berpandu miliknya, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) walaupun Pyongyang dan Seoul hari ini saling berbalas ancaman terbaharu tentang tindak balas ketenteraan terhadap mana-mana provokasi.
Seorang pegawai pertahanan AS berkata, dua peluru berpandu Korea Utara yang akan digunakan bagi tujuan ujian itu telah dipindahkan daripada tapak pelancarannya sekali gus menunjukkan kemungkinan ketegangan di Asia Utara dapat dikurangkan menjelang sidang kemuncak AS-Korea Selatan di Washington.
Pegawai-pegawai Korea Selatan dan AS bimbang tentang sebarang ujian peluru berpandu jarak sederhana Musudan yang akan membangkitkan ketegangan ketenteraan terbaharu termasuk ancaman perang nuklear oleh Pyongyang.
''Mereka (Korea Utara) telah memindahkannya (peluru berpandu) dan tiada lagi ancaman ujian itu,'' kata pegawai pertahanan Amerika yang tidak mahu dikenali memberitahu AFP.
Pendedahan itu dibuat di Washington menjelang satu sidang kemuncak antara Presiden AS, Barack Obama dan Presiden Korea Selatan yang baharu, Park Geun-hye di White House hari ini, satu isyarat perpaduan kepada Pyongyang.
Pyongyang mengejutkan dunia dengan ujian nuklear ketiganya pada Februari lalu didapati sedang membuat persiapan untuk membuat satu lagi ujian nuklear, kata pegawai AS.
Sementara itu, dalam satu temu bual dengan stesen televisyen CBS menjelang persidangannya dengan Obama, Geun-hye berkata, sebarang serangan serupa oleh Korea Utara akan 'dibayar' dengan tindak balas tegas ketenteraan.
''Ya, kami akan memastikan mereka menerima akibatnya,'' kata Geun-hye sambil menambah, Seoul tidak lagi akan terlibat dalam 'satu kitaran kejam' secara automatik dalam berhadapan provokasi dan ancaman Korea Utara dengan rundingan bantuan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130508/lu_05/Tarik-balik-ujian-peluru-berpandu#ixzz2SfoMTUsl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment