Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
GEORGETOWN - Datuk Seri Dr Chua Soi Lek didesak meletak jawatan sebagai Presiden MCA ekoran kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

Desakan itu dibuat oleh enam bahagian MCA Pulau Pinang iaitu MCA Bahagian Jelutong, Bayan Baru, Tanjong, Bukit Bendera, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor yang  mahu Dr Chua bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu.

Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru David Yim berkata peletakan jawatan itu adalah sebagai menjaga maruah dan nama baik parti.

"Ini juga merupakan satu-satunya  peluang bagi Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk menebus dirinya dan meminta maaf kepada semua masyarakat Cina Malaysia dan anggota MCA atas kerosakan yang beliau telah lakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MCA Bahagian Jelutong, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tanjong Lee Hack Teik, Ketua Pemuda Bahagian Jelutong Tan Eng Hin, Naib Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bendera Tan Khai Beng, Ketua Bahagian MCA Permatang Pauh Datuk Ma Kok Ben, Ketua Bahagian MCA Tasek Gelugor Kong Chu Hock dan Ketua Bahagian MCA Jelutong Datuk Leow Soo Tat.

David yang mewakili keenam-enam bahagian MCA itu berkata tiga sebab mengapa Chua perlu meletakkan jawatan sebagai presiden parti antaranya Dr Chua memilih kroni dalam soal pemilihan calon yang bertanding pada PRU13.

"Manakala sebab kedua ialah krisis moral dan akhlak beliau (Dr Chua) yang tercemar adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni khususnya dalam kalangan masyarakat Cina," katanya.

Selain itu, katanya sikap Dr Chua yang mementingkan diri sendiri juga adalah antara alasan mengapa beliau perlu meletak jawatan kerana sikapnya itu menyebabkan  perhubungan antara masyarakat Cina dan MCA menjadi longgar sehingga mengakibatkan kelompok itu tidak memberi sokongan kepada MCA dalam PRU13.

David dan rakan pemimpin lain juga meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan keadaan yang terjadi  ketika ini kerana parti itu sekarang dilabelkan sebagai sebuah parti "Seven Eleven' yang hanya menjual cakera padat.

"Sebagai anggota parti yang setias, kami mahu menyokong parti kami dan membantu pembinaan, penstrukturan dan pembaharuan semula parti. Jika kami tidak melakukan pembaharuan sekarang, saya fikir dalam pilihan raya umum akan datang, MCA akan disapu bersi,"  katanya.

Pada PRU 13, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen daripada 37 dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 yang ditandingi. Keputusan itu adalah  paling teruk berbanding PRU 2008 apabila MCA memenangi 15 kerusi Parlimen daripada 40 kerusi dan 32 kerusi DUN daripada 90 kerusi yang ditandingi.

Di JOHOR BAHRU, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Pulai, Chia Song Cheng juga menggesa Dr Chua meletak jawatan parti bagi membolehkan MCA melantik  kepimpinan baharu yang dapat menyusun jentera bagi mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap parti berkenaan.

Katanya atas rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Chua, beliau pada hari ini turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor yang disandang sejak tahun 2009.

"Surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan pagi tadi kepada Presiden, bagaimanapun, saya tetap merupakan anggota MCA dan masih sebagai Timbalan Pengerusi  MCA Bahagian Pulai serta Pengerusi MCA Cawangan Kampung Kempas Baru demi berkhidmat kepada masyarakat Cina.

"Tidak timbul soal saya merajuk kerana tidak terpilih sebagai calon dan ini dibuktikan sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini apabila saya turun membantu calon BN Parlimen Pulai dan DUN ke 28 Pusat Daerah Mengundi," kata bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting itu kepada pemberita.

Beliau turut menggesa anggota Jawatankuasa Pusat MCA mengadakan mesyuarat khas bagi mengkaji punca penolakan kaum Cina terhadap parti itu dan BN pada pilihan raya kali ini.
Katanya, kajian mendalam itu bukan sahaja dapat mengembalikan semula sokongan kaum Cina terhadap MCA dan BN tetapi untuk MCA menyusun kembali jenteranya  bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Di MELAKA, MCA Bahagian Bukit Katil dan Tangga Batu turut menggesa Dr Chua meletak jawatan kerana mendakwa kekalahan teruk MCA dalam PRU13 berpunca daripada sikap Presiden MCA itu memilih calon secara berpuak, bukannya berdasarkan faktor calon boleh menang.
Timbalan Ketua Bahagian MCA Tangga Batu Datuk Lau Puan Long  berkata Dr Chua perlu meletak jawatan bagi menjaga maruah, kestabilan dan kepentingan parti itu terutama dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
"MCA menghadapi prestasi paling teruk dalam PRU13, Chua mesti letak jawatan, satu minit pun tidak boleh lewat," katanya pada sidang media di sini.
Naib Ketua MCA Bahagian Bukit Katil Chua Kheng Hwa berkata kekalahan teruk MCA pada PRU13 juga membuktikan pengundi Cina semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Dr Chua.
Di KOTA KINABALU, Pengerusi MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui berkata tsunami Cina yang menyaksikan sokongan kaum itu beralih kepada pakatan pembangkang tidak harus dianggap sebagai satu 'bencana' bagi meminggirkan mereka dalam arus pembangunan perdana.
  
Bimbang dipinggir dalam pelantikan kabinet baharu berikutan perubahan lanskap politik berikutan kekalahan parti itu pada PRU13, Chin berkata MCA mengharapkan agihan saksama berlandaskan semangat konsep perkongsian kuasa BN.
  
"Sebagai parti tertua kaum Cina di negara ini, MCA akan terus berjuang demi kepentingan masyarakat itu," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau turut menafikan dakwaan parti itu bakal berkubur berikutan kekalahan calonnya pada PRU13 di semua kerusi yang ditandingi, kecuali Ketua Perhubungan MCA Sabah Datuk Edward Khoo di Dun Kapayan serta Ketua Wanitanya, Datuk Agnes Shim di Luyang.
  
Chin berkata MCA akan mengenal pasti kelemahan serta punca peralihan sokongan kaum Cina kepada pembangkang.
  
"Bukan semua penduduk di Kota Kinabalu dan masyarakat Cina yang berjumlah lebih sejuta menyokong pembangkang. Kami menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan Sandakan merupakan kawasan pembangkang.
  
"Kami percaya masih terdapat sebilangan besar masyarakat kaum Cina, sama ada pengundi tidak berdaftar atau tidak mengundi, masih menyokong kerajaan BN, justeru, MCA berpendapat parti ini masih relevan dan berhak mempunyai perwakilan di peringkat negeri," katanya.
  
Antara pemimpin yang kalah pada PRU13 ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai merangkap bekas Timbalan Ketua Menteri dan Presiden LDP Datuk VK Liew, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama