Thursday, May 9, 2013

55 maut serangan baharu Boko Haram



Senjata-senjata, barangan peribadi dan mayat anggota Boko Haram yang bergelimpangan, dilihat di jalan-jalan selepas keganasan baharu tercetus di Bama, Maiduguri, timur Nigeria, kelmarin. - Reuters
MAIDUGURI, Nigeria 8 Mei - Seramai 55 orang maut, manakala 105 banduan terlepas daripada penjara apabila kumpulan militan Boko Haram melancarkan serangan terancang di beberapa berek tentera, balai polis dan sebuah penjara di bandar Bama, timur laut Nigeria semalam.
Jurucakap ketenteraan, Musa Sagir berkata, kumpulan militan itu melancarkan serangan-serangan tersebut pada pukul 5 pagi waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).
"Pasukan tentera bertempur dengan Boko Haram ketika mereka menyerang berek tentera, menyebabkan 13 anggota kumpulan itu terbunuh, manakala seorang lagi ditahan.
"Kumpulan tersebut juga memecah masuk ke penjara dan menembak mati semua warden yang ada ketika serangan itu berlaku," katanya.
Antara 55 yang terbunuh itu termasuklah 14 warden penjara, dua anggota tentera, 22 anggota polis, empat penduduk awam dan 13 anggota Boko Haram.
Musa menyatakan bahawa Boko Haram turut membakar balai polis, kenderaan dan sebuah klinik.
Kumpulan media tempatan yang melawat Bama selepas serangan itu berakhir, melaporkan Boko Haram menggunakan uniform tentera ketika melancarkan serangan.
Serangan itu berlaku selepas 17 orang maut dan banyak kediaman dibakar dalam beberapa siri serangan yang dilancarkan oleh Boko Haram di bandar yang sama pada 25 April lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130509/lu_05/55-maut-serangan-baharu-Boko-Haram#ixzz2SlQYu5wv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment