BANDUNG - Polis antikeganasan Indonesia berbalas tembakan dengan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam komplot untuk mengebom Kedutaan Myanmar.
Jurucakap polis nasional, Boy Rafli Amar berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di sini, Jawa Barat pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan dan berterusan hingga beberapa jam.
Rakaman televisyen menunjukkan anggota-anggota skuad antikeganasan menembak ke arah sebuah rumah yang dikelilingi sawah padi.
"Perkembangan itu berlaku selepas penangkapan empat pengganas di Jakarta pada minggu lalu," kata Timbalan Ketua Polis, Nanan Soekarna.
Pada Khamis lalu, polis antikeganasan menahan dua lelaki yang disyaki merancang mengebom Kedutaan Myanmar di Jakarta.
Komplot tersebut menyusul selepas keganasan etnik di Myanmar yang meragut nyawa ramai penduduk minoriti Islam Rohingya dan berpuluh-puluh ribu lagi menjadi pelarian.
Sumber pegawai kanan polis Indonesia pula menyatakan, mereka merancang untuk menyerang Kedutaan Myanmar hari ini.
Kemarahan rakyat Indonesia ekoran keganasan penduduk beragama Buddha terhadap etnik Rohingya di Myanmar semakin memuncak.
Beberapa pertempuran di negeri Rakhine, Myanmar antara penganut Buddha dan etnik Rohingya menyebabkan sekitar 200 orang terbunuh, manakala puluhan ribu lagi menjadi pelarian. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Sk0hrLpR
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment