Friday, June 7, 2013

Erdogan, Gul tak sekata isu bantahan

Erdogan, Gul tak sekata isu bantahan
Penunjuk perasaan berkhemah sepanjang malam di Dataran Taksim di Istanbul untuk meneruskan bantahan ke atas pemerintahan Tayyip Erdogan yang dianggap bersikap kuku besi. Ankara: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Abdullah Gul mempunyai pandangan berbeza mengenai bantahan besar-besaran di negara itu, menonjolkan perbalahan mereka menjelang pilihan raya tahun depan apabila kedua-duanya berpotensi bertanding sebagai presiden, kata pemerhati.

Sejak gas pemedih mata mula dilepaskan ke arah penunjuk perasaan secara aman di Dataran Taksim di Istanbul bulan lalu, merebak menjadi pertempuran ganas di seluruh negara, Erdogan mempertahankan tindakan itu.
Berdepan cabaran besar


Berdepan cabaran paling besar kepada pemerintahannya selama sedekad, pemimpin berusia 59 tahun itu menyifatkan penunjuk perasaan sebagai pelampau dan meneruskan lawatan rasmi ke Afrika Utara, berikrar keadaan di Turki akan reda sebaik beliau kembali semalam.

Ramalan itu disangkal penunjuk perasaan yang berkumpul dalam jumlah lebih besar menggesa peletakan jawatan Erdogan, menuduh beliau mengamalkan kuku besi dan melaksanakan nilai konservatif Islam di negara sekular itu.

“Amat menyedihkan dilayan seperti ini. Sukar bagi Erdogan untuk mengendurkan bahasa kasar dan sombong, yang tidak boleh diterima masyarakat,” kata pakar sains politik di Universiti Galatasaray di Istanbul, Ahmet Insel, mengenai ramai penunjuk perasaan muda yang marah dengan pendirian keras Erdogan.

Pandangan cara aman
Dalam perbezaan jelas, Gul, 62, yang kerap digambarkan sebagai ‘polis baik’ berbanding Erdogan yang digelar ‘polis jahat’ menyuarakan nada lebih damai, memberi jaminan kepada penunjuk perasaan mesej mereka sudah diterima dan menggesa mereka menyuarakan pandangan dengan cara aman.

Namun Gul sendiri bukan asing kepada kontroversi dengan sejarah politik Islam dan keputusan isterinya memakai tudung mencetuskan kritikan ketika dilantik pada 2007.

Didesak memberi jawapan kepada kenyataan lebih lembut Gul kepada penunjuk perasaan, Erdogan berkata beliau tidak tahu maksud presiden, dan menegaskan demokrasi muncul daripada kotak undi. - AFP

No comments:

Post a Comment