KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang hari ini memerintahkan kes bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan seorang pekerjanya yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri bagi memindah kes itu, bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.

Sementara itu peguam Wan Hidayati Nadirah Wan Ahmad Nasir yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah beliau menangguhkan hak anak guamnya untuk mencabar penahanan dan pertuduhan itu di mahkamah tinggi.

Pada 27 Mei lepas, Yazid, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan pembantunya Muhammad Hilmi Hasim didakwa di mahkamah atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Yazid, 49, dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012 dan 7 Feb lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Yazid didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala Muhammad Hilmi dan seorang lagi suri rumah Halimah Hussein didakwa bersubahat dengannya melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka daripada pertuduhan itu selepas membenarkan permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan itu.

Dalam membuat keputusan penting itu, Hakim Kamardin Hashim bersetuju dengan hujahan peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan memutuskan Perkara 149 itu hanya terpakai bagi tindakan ancaman di Malaysia. - Bernama