WASHINGTON 6 Jun - Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) semalam, mengaku bersalah di atas pertuduhan membunuh 16 rakyat Afghanistan pada Mac tahun lalu dan mengakui pembunuhan tersebut dilakukan tanpa sebarang sebab.
Robert Bales membuat pengakuan itu di sebuah mahkamah di sini, dipercayai bagi memastikan dia dapat mengelak daripada dikenakan hukuman mati di atas kesalahan tersebut.
Bales menyerang penduduk di dua buah kampung yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menyaksikan AS menggantung operasi mereka di Afghanistan.
Menurut pendakwa raya, Bales keluar daripada pangkalannya di Kandahar pada 11 Mac 2012 sebelum subuh dengan membawa sepucuk pistol 9 milimeter dan selaras raifal M-4 yang dilengkapi dengan pelancar bom tangan.
Dia kemudiannya menyerang kampung Alkozai sebelum balik ke pangkalan bagi memberitahu rakannya tentang kejadian itu.
Namun, rakan setugasnya tidak mempercayai kata-kata Bales itu dan menyambung semula tidur mereka, menyebabkan anggota tentera tersebut melancarkan serangan kedua di kampung Najiban.
Dalam pada itu, saudara kepada mangsa yang mengetahui keputusan mahkamah tersebut, terkejut dengan pengakuan bersalah dibuat Bales yang dirasakan mampu membuatnya terlepas daripada hukuman mati.
"Hukuman penjara tidak akan membawa sebarang makna,'' kata Said Jan yang kehilangan isteri dan tiga saudaranya akibat perbuatan Bales.
Sementara itu, seorang juri akan membuat keputusan pada Ogos ini sama ada Bales akan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau tanpa kemungkinan mendapat parol. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130607/lu_03/Tentera-bunuh-tanpa-sebab#ixzz2VUIJzeg6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment