Friday, June 7, 2013

Kini Salahudin pula diminta serah diri ke balai polis


Abdul Aziz Mustapha,06 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Selepas beberapa orang dikenakan tindakan di bawah akta Hasutan, kini Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) pula dikehendaki oleh pihak polis.

"Saya dikehendaki hadir ke balai polis Kepong esok (Jumaat) di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan," kata beliau.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan biasanya digunakan bagi tuduhan menyertai apa yang dianggap oleh pihak kerajaan dan polis sebagai perhimpunan haram.

Salahuddin bagaimanpun tidak jelas perhimpunan mana yang dirujuk oleh pihak polis.

Beliau menyifatkan ini operasi balas dendam dan satu lagi bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang sama sekali tidak boleh dipercayai.

"Sebelum ini, beria-ia Najib berjanji untuk menghormati hak-hak asasi.

"Nampak benar semua itu bohong dan beliau tidak boleh dipercayai sama sekali," kata Salahuddin.

Dengan apa yang terus berlaku sehingga kini, beliau yakin kebencian rakyat semakin membara.

"Malah, usaha untuk memberitahu lebih ramai rakyat bahawa kerajaan Najib adalah kerajaan pilihan raya tipu bukan sahaja tidak akan dapat dipatahkan malah akan digerakkan dengan lebih hebat.

"Taktik ugutan sebegini tidak akan berjaya dan rakyat tidak boleh ditakut-takutkan," katanya.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan menetapkan, jika disabitkan, seseorang itu boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-dua sekali.

No comments:

Post a Comment