Saturday, June 8, 2013

Erdogan minta aktivis alam sekitar tidak bersikap ganas



BEBERAPA penunjuk perasaan bersolat di Dataran Taksim, Istanbul semalam.- REUTERS


ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan semalam bahawa pentadbirannya menentang keganasan tetapi bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang membuat tuntutan menerusi proses demokrasi.
"Apa yang kita tentang ialah keganasan, pengganas, perbuatan laku musnah dan tindakan yang mengancam orang lain demi untuk mencapai kebebasan.
"Saya memiliki hati yang terbuka kepada sesiapa yang membuat tuntutan secara demokratik," kata Erdogan di sini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan para aktivis alam sekitar yang menentang rancangan pembangunan semula Taman Gezi untuk dijadikan sebuah berek tentera pada zaman empayar Ottoman dan pusat beli-belah.
Para aktivis itu telah berhimpun di Taman Gezi dan Dataran Taksim di sini sejak 31 Mei lalu dan bertempur dengan anggota-anggota polis pencegah rusuhan.
Menurut beberapa doktor, ribuan orang cedera selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu di serata bandar di Turki.
"Saya mengetahui mengenai alam sekitar. Menjadi aktivis alam sekitar bukan semestinya melakukan perbuatan vandalisme dan membunuh orang," kata Erdogan.
Dalam pada itu di Berlin, Canselor Jerman, Angela Merkel turut mendesak pentadbiran Turki supaya tidak menggunakan kekerasan semasa berdepan para penunjuk perasaan.
Menurutnya, tunjuk perasaan merupakan sebahagian daripada sebuah negara yang mendokong undang-undang.
"Justeru, para penunjuk perasaan perlu dilayan berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2VZNMudOK 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment