Tuesday, June 25, 2013

Pembocor maklumat AS berlindung di Ecuador

SEBUAH pesawat Airbus 330 milik syarikat penerbangan Aeroflot yang membawa Edward Snowden ke Cuba berlepas dari Lapangan Terbang Sheremetyevo di Moscow semalam.- AP


WASHINGTON - Pembocor maklumat program pengintipan rahsia Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden menaiki pesawat untuk mencari perlindungan di Ecuador.
Bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) dan juruteknik Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu meninggalkan Hong Kong kelmarin. Dia tiba di lapangan terbang Moscow untuk bermalam sebelum menaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan Aeroflot menuju ke Cuba seterusnya Ecuador.
Menteri Luar Ecuador, Ricardo Patino berkata, kerajaannya menerima permohonan suaka daripada Snowden dengan bantuan pertubuhan anti kerahsiaan, WikiLeaks.
"Dia berlindung di negara yang mempunyai hubungan tegang dengan AS," kata wakil rakyat negara kuasa besar itu, Ileana Ros-Lehtinen.
Menurut Ros-Lehtinen, beliau bimbang Snowden akan membocorkan lebih banyak maklumat rahsia AS sebagai pertukaran untuk mendapatkan suaka.
"Perkara ini tidak bagus untuk keselamatan dan kepentingan negara," tambahnya.
Ecuador yang menolak inisiatif kerjasama AS kini membantu pengasas WikiLeaks, Julian Assange mengelak daripada ditahan dengan membenarkannya berlindung di Kedutaan negara itu di London.
Sebelum ini, Snowden berlindung di Hong Kong selama beberapa minggu. Pulau bekas koloni British itu diberikan kuasa autonomi oleh China.
AS pernah mengemukakan permohonan rasmi untuk mengekstradisi Snowden dari Hong Kong tetapi telah ditolak.
Snowden membantu akhbar Guardian dan Washington Post mendedahkan program pengintipan data rakyat AS.
Program tersebut, PRISM bertujuan untuk mengumpulkan sejumlah besar rakaman perbualan telefon dan data dalam talian termasuk e-mel warga AS.
PRISM sah di sisi undang-undang negara tetapi agensi tersebut memerlukan waran mahkamah untuk meneliti kes-kes tertentu yang dipercayai melibatkan keganasan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2XB0xONwO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment