Tuesday, June 25, 2013

Perhimpunan rakyat sokong Presiden Mesir


Penyokong Mohammed Mursi melaungkan sokongan kepada Presiden Mesir itu semasa mengadakan perhimpunan di sekitar masjid Raba El-Adwyia di Dataran Kaherah, semalam. - REUTERS
KAHERAH 22 Jun - Beribu-ribu penduduk Islam Mesir mengadakan perhimpunan di sini, semalam bagi menunjukkan sokongan kepada Presiden, Mohammed Mursi, menjelang satu bantahan yang dirancang pihak pembangkang pada akhir bulan ini bagi mendesak beliau meletak jawatan.
''Mursi adalah Presiden kami dan tiada yang lain,'' laung penunjuk perasaan sambil memegang gambar Mursi yang memenuhi jalan-jalan di sekitar sebuah masjid utama di Nasr City di timur Kaherah.
Peserta perhimpunan terdiri daripada penyokong Mursi daripada pergerakan Ikhwan Muslimin, termasuk anggota daripada 16 kumpulan Islam yang dibawa dengan bas dari beberapa wilayah Mesir.
Kebanyakan penyokong itu membawa bendera Mesir dan selebihnya mengibarkan bendera hitam jihad.
Abdul-Nasser Abdul-Sattar, seorang guru dari bandar Mansoura berkata, jumlah mereka yang hadir pada perhimpunan itu menunjukkan bahawa Mursi masih popular.
''Lihat pada perhimpunan ini. Penyampai berita televisyen Mesir adalah penipu besar.
''Mereka sebenarnya dibayar bagi menyatakan Mursi dibenci, namun ini (perhimpunan) adalah realiti,'' kata Abdul-Nasser.
Salah satu daripada banting yang dibawa penyokong Mursi tertera tulisan: 'Tidak kepada kehancuran kebenaran' dan 'Untuk kebaikan Mesir, duduk sahaja di rumah pada 30 Jun' merujuk kepada perhimpunan pembangkang pada akhir bulan ini.
Keadaan di Mesir semakin tegang menjelang ulang tahun pertama pentadbiran Mursi yang jatuh pada 30 Jun ini.
Pembangkang merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di luar Istana Presiden di Kaherah pada 30 Jun ini bagi mendesak Mursi meletak jawatan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130623/lu_04/Perhimpunan-rakyat-brsokong-Presiden-Mesir#ixzz2XB8HoaNJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment