Tuesday, June 25, 2013

Polis lepaskan meriam air lerai tunjuk perasaan


Sebahagian penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa bantahan di Dataran Taksim, Istanbul, kelmarin. - AGENSI
ISTANBUL 23 Jun - Polis Turki hari ini melepaskan tembakan meriam air untuk meleraikan beribu-ribu penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan terbaharu di Dataran Taksim di sini bagi menentang kerajaan yang berasaskan Islam.
Beratus-ratus polis antirusuhan bersama trak meriam air dikerah meleraikan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan meminta Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan.
"Ini baru permulaan dan perjuangan akan diteruskan," kata penunjuk perasaan yang turut melemparkan bunga teluki berwarna merah sebagai memperingati mangsa yang terbunuh, cedera dan ditahan dalam bantahan sebelum ini.
Anggota polis antirusuhan yang dikerah menangkap penunjuk perasaan di Jalan Mis, turut dilontar gelas dan botol oleh sekumpulan pelanggan di kebanyakan bar di lokasi tersebut.
Malah, ada individu bertindak melontar kerusi dan meja di jalan-jalan, memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata untuk menyelamatkan diri.
Di Jalan Istiklal, sekumpulan penunjuk perasaan turut melontar batu dan botol ke arah anggota polis.
Demonstrasi hari ini diadakan genap seminggu selepas polis Turki mengusir beribu-ribu penunjuk perasaan dari Taman Gezi, yang menjadi pusat tumpuan bantahan dari seluruh negara.
Bantahan besar-besaran sebelum ini mengejutkan Turki dan menaikkan kemarahan Recep.
Negara-negara Barat turut mengutuk Turki mengendalikan krisis itu ekoran tindakan kekerasan yang digunakan terhadap penunjuk perasaan.
Krisis di negara ini bermula apabila sekumpulan kecil penunjuk perasaan berkempen untuk menyelamatkan 600 batang pokok di Taman Gezi daripada ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Namun, bantahan kecil itu bertukar ganas akibat tindakan polis pada 31 Mei lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan seluruh negara yang bertindak mengadakan demonstrasi besar-besar menentang Recep, yang dilabel sebagai pemimpin kuku besi.
Menurut laporan Persatuan Perubatan Turki, empat orang terbunuh dan hampir 8,000 lagi cedera dalam konflik sepanjang tiga minggu lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130624/lu_06/Polis-lepaskan-meriam-air-lerai-tunjuk-perasaan#ixzz2XB7iVswY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment