Wednesday, July 31, 2013

ISA dikuatkuasa di 3 daerah Thailand




BANGKOK - THAILAND. Pihak berkuasa Thailand diberi kuasa meluas mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tiga daerah untuk mengawal perhimpunan politik yang dirancang bertujuan menentang dan menyokong rang undang-undang pengampunan.
 
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Lt Jen Paradorn Pattanatabut berkata Kabinet Thailand hari ini meluluskan penguatkuasaan ISA untuk mengawal keadaan politik dari 1 hingga 10 Ogos.
 
Ketiga-tiga daerah terlibat ialah Dusit, Pomprabsattrupai dan Pranakorn, katanya kepada pemberita.
 
Terdapat tujuh rang undang-undang berkaitan pengampunan di parlimen termasuk pengampunan bagi pesalah yang terlibat dalam keganasan politik 2010.
 
Persidangan parlimen bersambung semula esok.

Paradorn berkata ISA digunakan memandangkan kumpulan terbabit mungkin mengadakan perhimpunan berpanjangan dan terdapat juga pergerakan oleh pelbagai kumpulan yang berlainan.
 
"Jadi kami bersetuju mengumumkan ISA untuk mengurangkan dan mencegah konfrontasi antara penentang dan penyokong. Kami juga bimbang tentang campurtangan pihak ketiga," katanya.
 
Beliau, bagaimanapun, berkata ISA boleh ditarik balik bila-bila masa apabila keadaan kembali pulih. - Bernama

No comments:

Post a Comment