Phnom Penh: Parti Pembangkang Kemboja semalam mendakwa penipuan pada pilihan raya parlimen semalam berlaku secara berleluasa dan menyifatkannya sebagai lebih teruk berbanding sebelum ini.
“Keadaan lebih teruk berbanding pilihan raya sebelum ini,” kata jurucakap Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, Yim Sovann.
Menurutnya, banyak nama hilang dari senarai pengundi sementara beribu-ribu lagi penduduk tidak boleh mengundi kerana ada pihak sudah menggunakan undi mereka.
“Dakwat digunakan untuk mengundi juga mudah dibersihkan,” katanya.
Perdana Menteri Hun Sen dijangka menang lagi untuk melanjutkan lagi pemerintahannya selama 28 tahun dalam pilihan raya kali ini yang tercemar dengan pengharaman bertanding ke atas ketua pembangkang Sam Rainsy.
Rainsy yang hidup dalam buangan sejak beberapa tahun lalu kembali ke Kemboja pada 19 Julai lalu selepas menerima pengampunan mengejut berkait kes jenayah yang didakwanya bermotif politik.
Bagaimanapun, dia dilarang bertanding kerana pihak berkuasa berkata, ia sudah terlalu lewat untuk memasukkan namanya di dalam daftar pemilih.
Partinya sebelum ini berkata, ia mengesan salah laku seperti puluhan nama bertindih yang akan membolehkan ada orang mengundi dua kali.
Pemantau pilihan raya tempatan, Jawatankuasa Bagi Pilihan Raya Bebas dan Adil Untuk Kemboja mendakwa, kira-kira 1.25 juta orang yang layak mengundi tidak termasuk dalam senarai pengundi.
No comments:
Post a Comment