Monday, July 22, 2013

Kesucian Ramadan dicemari

Pegawai polis memeriksa mayat dipercayai anggota puak pemisah yang ditembak mati semasa satu pertempuran dengan pasukan Renjer Thailand di daerah Cho-i-rong, wilayah Narathiwat, kelmarin. - AFP
BANGKOK 20 Julai - Kesucian bulan Ramadan terus tercemar di selatan Thailand apabila tiga maut dan tiga lagi cedera semalam, meskipun perjanjian damai sepanjang bulan puasa dipersetujui oleh kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Kuala Lumpur pada bulan lalu.
Sebanyak dua kematian dicatatkan di wilayah Narathiwat apabila seorang anggota kumpulan pemisah ditembak mati oleh pasukan Renjer Thailand di daerah Cho-i-rong, manakala seorang penduduk tempatan mati ditembak oleh penyerang tidak dikenali.
Satu lagi kematian dicatatkan di wilayah Yala apabila penyerang tidak dikenali menembak mati seorang lelaki dan mencederakan isteri mangsa.
Dua lagi mangsa dilaporkan cedera dalam dua serangan berasingan, masing-masing di Yala dan Narathiwat.
Sementara itu di Mesir, pertempuran terbaharu antara penyokong dan penentang bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi, menyebabkan empat wanita mati ditembak dan 10 lagi cedera, di Delta Nil semalam.
Seorang penunjuk perasaan pro-Mursi yang enggan dikenali berkata, beribu-ribu penyokong bekas Presiden itu berarak di bandar Mansura sebelum diserang sekumpulan 'samseng', dipercayai penentang Mursi, yang bersenjatakan pistol, pisau dan batu.
Di Syria, lebih 150 orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara sejak kelmarin apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak semakin sengit.
Pertubuhan pemantau hak asasi manusia di Syria melaporkan, lebih 100,000 orang dilaporkan terbunuh sejak perang saudara tercetus pada 2011.
Sementara itu di Iraq, seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah masjid semasa umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.
Serangan tersebut berlaku di pekan Wajihiya di wilayah Diyala yang dikuasai penduduk berfahaman Sunah.
Sejak bulan Ramadan bermula, lebih 200 orang dilaporkan terbunuh di Iraq akibat serangan berani mati, tembakan dan letupan bom. - AFP/BERNAMA/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_01/Kesucian-Ramadan-dicemari#ixzz2ZmnbA6DI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment