Monday, July 22, 2013

Majlis perkahwinan bertukar huru-hara

Polis Turki menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan dengan meriam air semasa satu demonstrasi di pintu masuk Dataran Taksim, di Istanbul, kelmarin. - AFP
ISTANBUL 21 Julai - Sebuah majlis perkahwinan bertukar menjadi huru-hara apabila penunjuk perasaan antikerajaan yang meraikan majlis itu ditembak dengan tembakan air dan gas pemedih mata oleh polis ketika cuba memasuki Taman Gezi, semalam.
Kejadian tersebut berlaku selepas anggota polis menutup taman itu yang berdekatan dengan mercu tanda Dataran Taksim sebelum mengarahkan penunjuk perasaan ke kawasan pejalan kaki, menurut agensi berita Dogan.
Menurut laman web akhbar Radikan and Hurriyet, polis juga dilaporkan mengejar beberapa penunjuk perasaan sebelum melepaskan gas pemedih mata. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.
Pengantin perempuan yang memakai topi di atas tudung putihnya berkata, dia bertunang dengan pasangannya sebulan lebih awal ketika tunjuk perasaan besar-besaran menentang Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan diadakan di seluruh negara.
Bantahan tercetus selepas tindakan kekerasan oleh anggota polis terhadap pencinta alam sekitar yang menghalang pokok-pokok di Taman Gezi ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah replika Uthmaniah.
Pihak polis dikritik kerana menggunakan pendekatan yang tidak sewajarnya bagi menyuraikan penunjuk perasaan, termasuk menembak kelongsong gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang mengadakan protes.
Lima orang terkorban dalam protes tersebut termasuk seorang yang teruk dipukul di kepala dan seorang lagi yang ditembak oleh seorang pegawai polis.
Ribuan penduduk cedera akibat terkena gas pemedih mata dan lebih berbelas-belas orang bakal kehilangan mata selepas terkena kelongsong gas pemedih mata. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_08/Majlis-perkahwinan-bertukar-huru-hara#ixzz2ZmlJC2yy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment