Ramadan di bumi bergolak
Ramadan di bumi bergolak
Nasi, hirisan nenas dan kicap antara makanan pilihan masyarakt Rohingya ketika iftar.
Ramadan di bumi bergolak
Remaja memanjat tembok pemisah dibina Israel di Ar-Ram, Jumaat lalu sematamata untuk menunaikan solat Jumaat.
Ramadan di bumi bergolak
Tindakan kumpulan pemisah yang menyerang penduduk dan askar di selatan Thailand mengundang kegelisahan penduduk sepanjang Ramadan ini.
TATKALA Ramadan menjengah, seluruh masyarakat Islam dunia mula membuat persiapan dengan penuh kegembiraan bagi memulakan ibadah puasa, amalan sunat Tarawih serta memperbanyakkan kebaikan demi merebut pahala berlipat ganda.

Namun, sedarkah kita, masih ada berjuta umat Islam di negara bergolak seperti Mesir, Syria, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand  meraikan kehadiran bulan dinanti-nantikan ini dalam kesayuan serta  kekurangan.

Bermula sahur sehingga berbuka puasa, mereka terpaksa melarikan diri daripada peperangan, pergolakan politik dan serangan pemberontak hanya mengalas perut paling tidak dengan seteguk air dan kurma.

Berbanding pula dengan negara kaya, ada di antara mereka terpaksa dimasukkan ke hospital kerana makan berlebihan sewaktu menikmati juadah iftar.

Mesir

Rakyat Mesir terpaksa bergelut menyambut ketibaan bulan Islam kesembilan ini dalam keadaan bergolak, susulan penggulingan pemimpin negara oleh ketenteraan pada ketika itu.

“Ya ALLAH, tumpahkanlah kemurkaan-Mu kepada orang-orang yang berusaha merosakkan Mesir, luaskanlah rahmat-Mu kepada mereka yang menginginkan kemakmuran negara. Ya ALLAH, musnahkanlah orang-orang yang enggan menerima hukum-Mu,” kata penyokong Presiden Mohamed Mursi, Yosri Ackad ketika berdoa selepas menunaikan solat Tarawih pertama Ramadan dua minggu lalu.

Pada masa itu, Yosri yang juga seorang pesara doktor ditegur sekumpulan lelaki tempatan kerana membawa isu politik ke dalam masjid dan dilabelkan sebagai membawa ideologi gerakan Ikhwanul Muslimin.

Kira-kira 84 juta penduduk Islam Mesir amat menantikan Ramadan setiap tahun terpaksa berpuasa di bawah ketegangan politik, kejatuhan ekonomi dan pergolakan sesama umat.

Rakyat Mesir dilaporkan seolah-olah kurang berminat meneruskan tradisi berzaman mereka di bulan Ramadan yang membezakan negara itu di rantau secara keseluruhannya.

Jalan-jalan raya masih bergelap tidak seperti Ramadan dahulu di mana setiap pelosok jalan raya diterangi fanous (lampu khas Ramadan berwarna-warni) serta para peniaga berebut-rebut menjaja manisan mereka.

Malah, laungan el-mesaharrati bermaksud panggilan untuk menikmati hidangan terakhir sebelum Ramadan, disambut hambar tidak seperti tahun sebelumnya.

“Tiada sesiapa pun berasa seperti meraikan apa-apa, walaupun Ramadan tiba. Tahun ini adalah tahun yang paling buruk. Kami sepatutnya dapat menjual semua pelita menjelang Ramadan.

“Namun, hanya 60 peratus pelita mampu dipasarkan pada tahun ini,” kata seorang pembekal pelita tradisi Mesir, Waleed Abdel-Tawab, 39.

Syria

Tenggelamnya fajar Ramadan di bumi Syria pada tahun ketiga konflik berdarah menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, diraikan seperti biasa buat keluarga mewah dengan hidangan iftar yang menyelerakan.

Namun, bagi majoriti rakyat yang menderita, kehilangan tempat berteduh, kanak-kanak yatim piatu, mereka terpaksa bergelut di bawah rangka bangunan untuk sesuap rezeki bagi mengalas perut selepas seharian berlapar.

Agak bernasib baik bagi mereka yang mendapat perlindungan di kem-kem pelarian, kerana dapat merasai suasana Ramadan agak sempurna berbanding saudara-mara di kawasan bergolak.

Media tempatan melaporkan, penduduk yang menghuni kawasan ditawan pemberontak terpaksa mengemis untuk mendapatkan secebis roti bagi hidangan iftar.

Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan, kira-kira 7 juta rakyat Syria terpaksa bergantung kepada bantuan makanan.

Pertempuran memusnahkan hampir keseluruhan Syria dan digabungkan dengan kenaikan harga barangan secara mendadak kebelakangan ini membuatkan penduduk semakin tertekan.

“Mereka sanggup menggeledah tong sampah demi mengalas perut, ini amat menyayat hati,” kata aktivis di sebuah bandar ditawan pemberontak, Maarat al-Numan.

Katanya, kumpulan aktivis yang masih aktif di Syria terpaksa menggunakan dapur awam untuk mengedarkan juadah iftar seperti nasi dan sup sayur kepada kira-kira 400 keluarga miskin di bandar itu.

Beliau hanya memperkenalkan diri sebagai Abu Anas berkata, setiap aktivis berada di dalam ketakutan tatkala memberi makanan kepada penduduk.

“Kami takut jika kawasan ini diserang secara tiba-tiba,” katanya.

Sementara itu, di kem pelarian Zaatari terletak di tengah-tengah gurun Jordan, menempatkan lebih 120,000 pelarian Syria.

“Mereka terpaksa menunaikan ibadah rukun Islam ketiga dalam keadaan amat tidak selesa serta kekurangan bekalan air bersih,” kata pekerja binaan dari wilayah selatan Daraa, Abu Qusai, 32.

Palestin

Walau berhadapan sekatan oleh pihak berkuasa Israel sejak 40 tahun lalu, mangsa kekejaman rejim Zionis ini tidak gentar meraikan ketibaan Ramadan.

Tokoh Islam, Sheikh Azzam al-Ahmad berkata, lebih 200,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat di masjid Al-Aqsa bagi meraikan minggu pertama di bulan Ramadan, minggu lalu.

"Kita berharap jumlah besar itu akan bertambah dari sehari ke sehari dan seluruh pekarangan Al-Aqsa akan dibanjiri masyarakat Islam dari Tebing Barat," katanya.

Bagaimanapun, kebanjiran penduduk Palestin untuk beribadah di bulan mulia ini tetap dikawal oleh askar Zionis yang memeriksa setiap individu yang melepasi sempadan tembok pemisah di Al-Aqsa.

Sementara itu, sepanjang Ramadan, askar Israel melanjutkan pembukaan sempadan tembok dari Tebing Barat dan membenarkan warga Palestin berumur 60 tahun dan ke atas memasuki Al-Aqsa tanpa sebarang permit ditetapkan.

Sebelum itu, pada bulan-bulan selain Ramadan, rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dihalang memasuki timur Baitulmaqdis yang diduduki secara haram oleh Israel sejak perang Enam Hari 1967.

Remaja ini sanggup memanjat tembok pemisah yang dibina Israel di Ar-Ram, Jumaat lalu semata-mata mahu menunaikan solat Jumaat.

Sebuah keluarga Palestin menikmati juadah iftar di pekarangan Al-Aqsa sebelum menunaikan solat sunat tarawih.

Myanmar

Masyarakat Islam Rohingya di Arakan terpaksa menunaikan ibadah puasa pada tahun ini dalam keadaan serba kedaifan.

Walaupun konflik berdarah membabitkan etnik Islam dan Buddha di wilayah itu telah berakhir, namun penindasan terhadap golongan Islam yang berhijrah daripada Bangladesh sejak berkurun lama dahulu masih berlaku.

Awal Ramadan minggu lalu, kira-kira 100 pegawai Nasaka memasuki perkampungan Wabeg di utara Maungdaw dan memaksa penduduk di situ menandatangani dokumen perakuan bahawa mereka adalah 'Bengali' dan bukannya 'Rohingya'.

Susulan itu, penduduk kampung yang terdiri daripada masyarakat Islam Rohingya bertindak meninggalkan kediaman kerana enggan memperakui dokumen tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka termasuk golongan wanita dan kanak-kanak di tahan dan dipaksa menurunkan cap jari mengaku bahawa mereka adalah Bengali.

Ramadan ini juga merupakan satu bulan penuh dugaan buat Islam Rohingya, kerana mereka terpaksa berpuasa dalam keadaan melarikan diri dari pihak berkuasa.

Persoalannya, kerajaan Myanmar telah mengumumkan kelompok itu adalah rakyat yang bebas, tetapi penindasan tetap berlaku.

Setakat ini, lebih 140,000 masyarakat Rohingya berlindung di kem sementara Sittwe (Akyab) dalam Arakan dalam keadaan yang amat menyedihkan.

"Mereka kekurangan bekalan makanan, air, ubat-ubatan, pakaian bersih dan barangan asas. Bagaimana untuk mereka menunaikan ibadah puasa dengan sempurna?

"Ramai kanak-kanak dan wanita mati disebabkan kekurangan zat dan rawatan," kata aktivis kemanusiaan di Myanmar.

Selatan Thailand

Keganasan terus berlaku di selatan Thailand dengan lima kejadian dilaporkan hari ini walaupun Inisiatif Keamanan Ramadan dicapai di Kuala Lumpur Jun lalu.

Dalam kejadian serangan pertama, seorang Tok Penggawa Mukim Katong, daerah Yaha, wilayah Yala Matsaki Kanet, 38, cedera ditembak.

Dalam kejadian kedua di wilayah Narathiwat, seorang lelaki, Sufian Mamat, terbunuh dalam pertempuran dengan pihak keselamatan Thailand yang mengepung rumahnya pada 3.20 petang di Kampung Yanin Jok Irong, Narathiwat, manakala kejadian ketiga menyaksikan seorang lelaki dikenali sebagai Hamdi Mahamamalee, 21, cedera ditembak.

Satu lagi kejadian pada pukul 6.50 petang waktu tempatan, Asmadi Tuwaenya terbunuh dan isterinya Ilham Kuma cedera di tembak di Kampung Natham, Muang Yala, manakala seorang lelaki, Asri Chekmama, mati ditembak di Kampung Tanjunglima, Muang Narathiwat.