Kaherah: Perdana Menteri Mesir berkata, dia tidak menolak kemungkinan memberi jawatan kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin dalam Kabinetnya jika ada calon berkelayakan.
Dalam temu bual dengan agensi berita semalam, Hazem al-Beblawi berkata dia masih mempertimbangkan bentuk Kabinet sementara selepas tentera merampas kuasa Mohamed Mursi minggu lalu. “Saya tidak melihat kepada kaitan seseorang dengan politik.
“Jika seseorang dinamakan daripada Parti Kebebesan Dan Keadilan (yang ditubuhkan Ikhwanul Muslimin) dan dia berkelayakan, tokoh itu mungkin dipertimbangkan,” katanya. Menurut Hazem, ada dua kriteria yang diberi perhatian dalam kerajaan sementaranya, iaitu kecekapan dan kredibiliti.
“Setakat ini saya belum menghubungi sesiapa kerana mahu memilih calon terbaik sebelum membuat tawaran kepada mereka,” katanya. Ikhwanul Muslimin sebelum ini menolak tawaran Hazem untuk menyertai kerajaan sementara dan menyeru penyokong gerakan Islam itu mengadakan himpunan besar-besaran hari ini bagi mengecam “rampasan kuasa berdarah” dilakukan tentera Mesir. Pada masa sama, kumpulan penentang Mohamed Mursi dilaporkan turut merancang mengadakan perhimpunan bagi menyambut Ramadan. Sementara itu, polis terus memburu Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie, selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
Sumber berkata, Mohamed Badie dan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dikehendaki kerana disyaki menghasut pergaduhan. - AFP
No comments:
Post a Comment