Friday, July 12, 2013

Polis, sukarelawan ganti tentera

Bangkok: Sebagai sebahagian perjanjian damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), polis dan sukarelawan pertahanan akan menggantikan tentera untuk mengawal keamanan di selatan Thai sepanjang Ramadan ini.
Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Paradorn Pattanathabutr yang juga ketua delegasi Thai dalam dialog keamanan bersama BRN berkata semalam, perkara itu dicadangkan kepada BRN pada hujung minggu.

Beliau menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya langkah itu menunjukkan kerajaan tunduk kepada tuntutan BRN yang sebelum ini mendesak Bangkok mengundurkan tentera dari wilayah berkenaan sebagai cara mengurangkan keganasan.
“Kami hanya mengurangkan rondaan dan pemeriksaan, kecuali berlaku kecemasan,” katanya.

Menurutnya, menerusi langkah itu, anggota tentera akan dipindahkan dari kawasan perkampungan dan ditempatkan di berek tempatan.

Mereka bagaimanapun akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku kecemasan. Polis dan sukarelawan pertahanan akan mengambil alih kawalan keselamatan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam, kata Paradorn.
Foto
TRAK tentera yang rosak teruk selepas terkena bom di Yala, semalam.
Pada masa sama, Paradon menafikan laporan bahawa BRN membatalkan perjanjian damai sepanjang Ramadan.

Menurutnya, kumpulan itu hanya menunda pengumuman dan kedua-dua belah pihak sudah bersetuju menunggu Malaysia mengumumkan perjanjian damai. Menjawab soalah mengenai penentang perjanjian damai yang meletakkan poster mengecam kerajaan, Paradorn mengakui tidak semua kumpulan pemisah bersetuju untuk mengadakan perdamaian. Sementara itu, hari pertama Ramadan berlalu dengan aman di wilayah berkenaan - Yala, Pattani dan Narathiwat. Namun, keadaan aman itu tercemar apabila lapan anggota tentera yang mengawal keselamatan kumpulan guru cedera dalam letupan bom di Daerah raman, Yala pagi semalam. - Agensi

No comments:

Post a Comment