Saturday, August 17, 2013

70 maut keganasan baharu

70 maut keganasan baharu:
Ribuan pengikut Ikhwanul Muslimin berkumpul di Dataran Ramses di Kaherah dalam satu perhimpunan besar-besaran membantah tindakan tentera menggempur kem penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi di Kaherah, semalam. - AFP
KAHERAH 16 Ogos - Sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam pertumpahan darah terbaharu di Mesir hari ini selepas beberapa pertempuran berlaku di antara penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi dan pasukan keselamatan di bandar-bandar utama negara ini.
Menurut Ikhwanul Muslimin, 41 pengikut Mursi maut di di Dataran Ramses, medan utama mereka berhimpun, diikuti lima di Fayoum.
Reuters yang memetik sumber perubatan melaporkan, lapan penunjuk perasaan pro-Mursi terkorban di bandar Damietta, utara Kaherah apabila anggota pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan tersebut.
Kematian akibat pertempuran turut dilaporkan di bandar Ismailiya, Terusan Suez membabitkan lima penyokong bekas Presiden tersebut.
Di ibu negara pula, seorang anggota polis terbunuh, sementara dua yang lain cedera selepas sebuah pos kawalan diserbu kumpulan lelaki bersenjata, kata seorang pegawai keselamatan.
Menurut saksi, bunyi tembakan turut kedengaran di beberapa bandar lokasi pertempuran tercetus termasuk di Iskandariah, Beni Sueif dan Fayoum di selatan Kaherah serta di bandar Hurghada, di Laut Merah.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri hari ini membenarkan penggunaan peluru hidup oleh polis sekiranya pasukan keselamatan itu atau bangunan-bangunan kerajaan diserang.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika beribu-ribu pengikut Ikhwanul Muslimin melancarkan perhimpunan besar-besaran selepas solat Jumaat dalam satu demonstrasi yang digelar 'Hari Kemarahan', sebagai membantah tindakan kekerasan pihak berkuasa yang mengakibatkan ribuan rakyat awam Mesir maut dalam operasi pembersihan kelmarin.
Penunjuk perasaan berarak dari masjid-masjid menuju Dataran Ramses bagi menyahut seruan jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad yang menyeru satu perhimpunan diadakan.
"Perhimpunan antirampasan kuasa hari ini yang digelar sebagai 'Hari Kemarahan' bermula di semua masjid-masjid di Kaherah menuju ke Dataran Ramsis selepas solat Jumaat.
"Kami akan terus melancarkan tunjuk perasaan sehinggalah tentera yang merampas kuasa digulingkan," tulis Gehad El-Haddad dalam Twitternya.
Keadaan dijangka bertambah buruk kerana pergerakan Tamarod yang menyokong kerajaan sementara, turut mengadakan perhimpunan di ibu negara. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130817/lu_01/70-maut-keganasan-baharu#ixzz2cBmG3dcZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment