KAHERAH 16 Ogos - Dua hari selepas pasukan keselamatan melancarkan operasi pembersihan ke atas dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden, Mohammed Mursi di sini dan menyebabkan beribu-ribu orang maut, penduduk bandar raya ini kini meratapi kematian mangsa.
Agensi berita al-Jazeera melaporkan di Masjid al-Iman di Nasr City, beratus-ratus jenazah mangsa keganasan dalam kejadian di Masjid Rabaa al-Adawiya masih ditempatkan di khemah sementara.
Jenazah-jenazah yang dibalut dengan kain kapan dan disejukkan dengan ketulan ais, kebanyakannya mempunyai luka tembakan namun sejumlah daripadanya melecur teruk, sehingga sukar dikenal pasti oleh ahli keluarga.
Seorang wanita, Samr Bedredeen berkata, dia masih belum dapat mengenal pasti jenazah suaminya yang turut maut dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai didalangi pihak berkuasa tersebut.
Samr berkata, pasukan keselamatan membunuh suaminya, Aymen Mohamed Zakayadeen, 45, yang juga ayah kepada empat orang anaknya.
"Saya tidak jumpa mayat suami saya. Mereka telah membakar mayatnya. Dia tidak memiliki senjata. Jika dia ada senjata mungkin dia dapat mempertahankan diri.
"Kali terakhir dia menelefon saya kira-kira pukul 9 pagi menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi kira-kira pukul 3 petang, rakannya menghubungi saya dan memaklumkan suami saya sudah meninggal dunia,'' katanya sambil menangis.
Kebanyakan penunjuk perasaan menulis nama mereka di tangan masing-masing ketika pasukan keselamatan menyerang kem utama tersebut kelmarin, bagi memudahkan mayat mereka dikenal pasti oleh ahli keluarga.
Nama mereka disenaraikan dalam satu keping kadbod di hujung penjuru barisan jenazah yang menunggu giliran untuk dikebumikan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130817/lu_02/Banyak-jenazah-masih-belum-dikenalpasti#ixzz2cBmVWnOR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment