KAHERAH 15 Ogos - Pergerakan Ikhwanul Muslimin Mesir hari ini berikrar akan 'menumbangkan' rampasan kuasa oleh tentera negara ini.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, pergerakan itu akan terus mengadakan bantahan secara aman yang merujuk kepada tunjuk perasaan selepas beribu-ribu pengikutnya maut apabila pasukan keselamatan melancarkan operasi pembersihan ke atas dua kem demonstrasi utama semalam.
"Kami tidak akan mengambil tindakan ganas dan kekal mengadakan demonstrasi secara aman. Kami akan kekal kuat dan terus membantah.
"Kami akan terus mara sehingga kami menumbangkan rampasan kuasa tentera ini,'' kata beliau dalam akaun Twitternya.
Pasukan keselamatan melancarkan operasi tersebut di dua kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi yang menyaksikan beribu-ribu orang maut semalam.
Sementara itu, meskipun perintah berkurung dikuatkuasakan, tunjuk perasaan dan pertempuran dilaporkan berlaku sejak malam tadi hingga hari ini di beberapa tempat di Mesir antara penyokong pro-Mursi dan pasukan keselamatan.
Ikhwanul Muslimin dalam laman webnya mendakwa bahawa tunjuk perasaan diadakan di bandar Iskandariah dan dua lagi di wilayah utara Mesir.
Agensi berita Asia Barat turut melaporkan beribu-ribu penyokong Mursi berkumpul di luar masjid di timur Kaherah.
Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi dalam pada itu sebagai mempertahankan tindakan kekerasan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah 'mempertahankan diri' oleh pasukan keselamatan.
Hazem malah menyatakan, kerajaan akan meneruskan pendekatan ketenteraan menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130816/lu_02/Ikhwanul-Muslimin-berikrar-tumbangkan-tentera#ixzz2cBqyHbKM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment