Thursday, August 1, 2013

Mamnoon Hussain terajui Pakistan

Mamnoon Hussain terajui Pakistan

 
Mamnoon Hussain terajui Pakistan Mamnoon menerima kalungan bunga sejurus selepas kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden, kelmarin.

ISLAMABAD - PAKISTAN. Sekutu rapat Perdana Menteri Nawaz Sharif, kelmarin dilantik sebagai Presiden Pakistan ke-12 untuk menggantikan Asif Ali Zardari yang akan tamat tempoh penggal lima tahun perkhidmatan beliau, September depan.

Menurut laporan Al-Jazeera, pelantikan Mamnoon Hussain, 73, itu dibuat berdasarkan keputusan undi majoriti daripada kedua-dua Dewan Kebangsaan dan empat Dewan Perhimpunan Wilayah, sekali gus menewaskan hakim bersara, Wajihuddin Ahmed dari Parti Tehreek-e-Insaf (PTI).

Mamnoon dilaporkan memperoleh 432 undi manakala saingannya hanya sekadar mendapat 77 undi. 

Sebelum ini, calon parti Liga Muslim Pakistan N (PML-N) yang juga usahawan tekstil itu pernah memegang jawatan sebagai Gabenor Selatan Sindh.

Difahamkan, Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang kalah besar dalam pilihan raya, Mei lalu bertindak memboikot proses pengundian tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah membenarkan pengundian lebih awal.

Dalam perkembangan lain. bekas Presiden, Pervez Musharraf mungkin akan didakwa berkaitan kes kematian pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto pada minggu depan.

Menurut peguamnya, beliau tidak akan berhadapan tuduhan membunuh tetapi berhubung kegagalannya untuk memberi kawalan keselamatan mencukupi ke atas Bhutto. 

No comments:

Post a Comment