Thursday, August 1, 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI NUZUL ALQURAN (PEDOMAN HIDUP MANUSIA)


9:24 PM Artikel Saf Pimpinan 

17 RAMADHAN ( 26 Julai 2013 )- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.

Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-41 baginda Rasulullah S.A.W keputeraan baginda dan perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh semua umat islam. Peristiwa ini juga harus sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Waktu penurunan Al-Quran adalah mengikut perancangan dari Maha Esa . Sesuai dengan kitab yang paling mulia, ia diturunkan juga pada bulan yang sangat mulia yang juga dikenali sebagai bulan Ramadhan di mana di dalamnya terdapat malam al-qadr, Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadaan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjukNya, dan supaya kamu bersyukur..

Rasulullah S.AW telah menerima wahyunya daripada Allah dengan pelbagai cara dan Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kerana ada hikmahnya yang tersendiri.Antaranya ialah:

1. Lebih mudah difahami
2. Sesuai dengan peristiwa yang berlaku agar ia terkesan pada hati-hati manusia
3. Memudahkan orang menghafalnya .
4. Di dalamnya terdapat ayat yang nasikh dan mansuh dan sesuai dengan masalah pada waktu tersebut.

Oleh itu, peristiwa nuzul quran ini perlu dihayati oleh seluruh umat islam kerana ia menjadi asas kepada keimanan terhadap al-quran. Bahkan ia menjadi petunjuk kehidupan kita sebagai umat manusia dan Rasulullah sebagai rasul kita serta keyakinan bahawasanya Islam merupakan agama yang paling tinggi. Turunnya kitab agung Al-Quran kepada ummat manusia agar menjadi pedoman hidup serta perlembagaan Muslim. Ayuh anak muda generasi Al-Quran, jangan sekadar membaca sahaja, hayati maksud dan tafsiran serta amalkan kandungan Quran dalam setiap perkara yang kita lakukan, insyaallah.

AMIRUL SYAFIQ B MOHD GHAZALI
Timbalan Setiausaha
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2012/2013

No comments:

Post a Comment