Saturday, September 7, 2013

Ada Cerita...: Bekas KPN Musa Hassan tinggalkan MyWatch, tubuh NGO baru...!!!



Kisah tembakan pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan menimbulkan pelbagai cerita.

Terbaru, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang juga penaung MyWatch meninggalkan badan pemantau jenayah itu untuk mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) baru.

Musa sendiri tidak mahu bercakap apa-apa mengenainya, tetapi dua sumber berbeza mengesahkannya kepada The Malaysian Insider.

Penasihat Mywatch, S Gobi Krishnan dan bekas setiausaha agung badan itu V Ravindran memberitahu The Malaysian Insider mengenai perkara itu.

Ravindran akan menyertai Musa yang akan mempengerusikan badan pemantau jenayah baru, Malaysia Community Crime Care Association.

“Semuanya akan didedahkan dalam mesyuarat pertama kami hari ini,” kata Ravindran dan menambah organisasi itu didaftarkan pada April lalu.

Ravindran memberitahu, beliau meninggalkan MyWatch kerana sebagai setiausaha agung beliau tidak diberitahu mengenai pelbagai perkara melibatkan badan pemantau jenayah itu.


“Saya juga mendengar berita yang agak mengganggu sebelum Sanjeevan ditembak dan membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari Mywatch.

“Saya tidak boleh bercakap lebih lagi kerana kes tembakan Sanjeevan masih dalam penyiasatan polis,” katanya.

Sanjeevan, 29, ditembak di simpang lampu isyarat di Bahau, Negeri Sembilan pada 27 Julai dan pada ketika ini masih dirawat di Hospital Serdang. Polis masih menunggu untuk menyoalnya.

Sementara itu, Gobi memberitahu The Malaysian Insider bahawa maklumat awal mengenai pembabitan polis dalam kes tembakan Sanjeevan adalah tidak benar dan bukti baru yang ditemui mencadangkan ianya berkait dengan sindiket dadah.

“Saya tiada apa-apa untuk ditambah,” katanya ketika ditanya apakah yang beliau maksudkan.

No comments:

Post a Comment